Timbalan Perdana Menteri me­rangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, analisis terperinci akan dilakukan untuk menentukan calon-calon berkenaan bagi memastikan BN dapat mempertahankan kedua-dua kerusi itu.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

“Tentu kita sukar untuk mencari tokoh yang berkaliber seperti Allahyarham Datuk Wan Khair-il dan Allahyarham Datuk Noriah.

Tetapi tidak mustahil kalau kita dapat gilap tokoh-tokoh baharu yang akan dicalonkan kelak, kalau tidak lebih hebat, mesti sama hebat dengan kedua-dua tokoh ber­kenaan.

“Kita harus berhati-hati untuk memilih supaya calon itu bukan hanya winnable (boleh menang) tetap juga likeable (disukai), ini harus diberi perhatian,” katanya dalam temubual bersama Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memberitahu, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan satu mesyuarat khas akan diadakan Jumaat ini untuk membincangkan PRK kedua-dua Parlimen itu.

Menurut Ahmad Zahid, dalam melakukan persiapan untuk kedua-dua PRK itu, pihaknya tidak akan mengenepikan fakta mengenai kemenangan majoriti tipis 399 undi yang diperoleh di Parlimen Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kita tidak boleh ketepikan hakikat bahawa kita harus bekerja tiga kali ganda lebih kuat. Dalam PRU-13 jentera parti peringkat tempatan mengusai semua, sama ada bagi UMNO atau parti lawan, tetapi dalam keadaan sekarang (PRK), parti lawan juga akan gunakan seluruh kekuatan di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan

“Ini tidak mudah dan persiapan harus dibuat bukan hanya sekadar menjanjikan projek-projek pembangunan, tetapi lebih dari itu bagaimana hati dan minda dalam kalangan pengundi dapat ditarik untuk memberi sokongan kepada calon-calon BN,” katanya.

Menurutnya, tidak hanya menangani cabaran luar yang didatangkan oleh parti pembangkang, BN juga perlu bijaksana dalam menangani sebarang permasalahan dalaman agar kekuatan parti di kedua-dua kawasan itu dapat di­tingkatkan.

“Saya lebih (memberi tumpuan) ke arah jika ada permasalahan dalaman parti berbanding masalah perpecahan (pakatan pembangkang) di luar sana, apa pun kita harus berada dalam satu wadah yang kukuh untuk elakkan daripada berlaku perpecahan,” katanya,