Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan negeri perlu me­ngambil berat terhadap isu penjualan hartanah kepada warga asing tersebut termasuk isu penjagaan alam sekitar.

Malah, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng perlu memberi jawapan yang munasabah dan baik berhubung isu tersebut bagi mengembalikan kepercayaan rakyat negeri berkenaan.

“DAP perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini. Saya akui pe­­ra­nan kerajaan negeri penting dalam menangani masalah ini termasuk harga kediaman yang me­lam­bung tinggi di negeri tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ke­tua Pemuda MCA Bahagian Tanjong, Lim Swee Bok semalam yang berpendapat, kawasan sekitar Georgetown semakin terhimpit dan berkemungkinan hilang daripada milikan rakyat tempatan atau kerajaan ne­geri sekiranya penjualan tanah kepada warga asing tidak dikawal.

Swee Bok berkata, tanah di negeri itu khususnya di kawasan Georgetown ketika ini dikesan ba­nyak dijual kepada warga asing.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai langkah kawalan bagi mempertahankan hartanah di negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan apakah langkah dan pelan tindakan yang dirancang dalam memastikan kepentingan rakyat tidak terabai setelah pihak asing memiliki tanah di negeri ini. 

Perkara ini penting demi memastikan kelangsungan hidup rakyat memandangkan Georgetown adalah jantung dan nadi kehidupan di negeri ini,” kata Swee Bok.