Pegawai SPRM yang menaiki dua buah kenderaan pelbagai guna (SUV) dan sebuah Proton Perdana itu tiba di rumah Guan Eng kira-kira pukul 3.20 petang dan berada hampir 40 minit sebelum beredar pukul 4 petang.

Mereka tiba bersama Guan Eng yang menaiki kenderaan rasminya dipercayai dari Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Zai­nal Abidin, di sini yang mana Guan Eng pada pukul 10 pagi ini hadir memberi keterangan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Difahamkan, selain Guan Eng, isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon turut hadir bagi memberi keterangan kepada SPRM pagi ini.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pegawai SPRM berkenaan membuat pemeriksaan di banglo berkenaan dengan ada yang dilihat turut mengambil video.

Yang turut serta ialah dua peguam Guan Eng yang juga pemim­pin DAP iaitu Ram Karpal Singh dan RSN Rayer.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil lanjutan kenyataan Guan Eng, isterinya dan Li Koon hari ini. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Ini adalah kali ketiga Guan Eng dipanggil ke pejabat SPRM di sini selepas dua hari berturut-turut pada 6 dan 7 Mei lalu memberi keterangan bagi membantu siasatan pembelian banglonya itu.

Guan Eng berada di SPRM lebih 10 jam pada kedua-dua hari tersebut iaitu bermula pada pukul kira-kira 10 pagi hingga 7.30 malam.

Selain Guan Eng; Betty dan Li Koon, turut dipanggil SPRM sebelum ini ialah Pegawai Khas Guan Eng, Jeffrey Chew; seorang lelaki yang merupakan pekerja syarikat Winbond 
Management and Consultant Sdn. Bhd., dan pemilik Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC), Datuk Tang Yong Chew.

Siasatan ke atas Guan Eng dilakukan selepas SPRM menerima laporan daripada beberapa pihak berhubung pembelian banglonya itu yang didakwa pada harga di bawah pasaran.
Banglo itu dibeli Guan Eng pada Oktober lalu daripada Li Koon atau turut dikenali dengan Miss Phang dengan harga hanya RM2.8 juta iaitu jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa hartanah tersebut yang boleh mencecah RM5 juta.

Pembelian itu mencetuskan kontroversi selepas turut dikaitkan dengan penjualan tanah Taman Manggis di sini oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada syarikat swasta juga didakwa pada harga di bawah pasaran.

Tanah Taman Manggis itu sebelum ini dikhaskan untuk pembangunan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun dijual kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd., untuk dibangunkan hospital swasta dan hotel.

Pendedahan mengenai pembelian banglo pada harga luar bia­sa murah itu pertama kali dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya dalam sidang Dewan Rakyat Mac lalu.