Beliau yang tiba di Ibu Pejabat SPRM pukul 12 tengah hari selesai membuat laporan berkenaan kira-kira sejam kemudian.
Kehadiran beliau diiringi Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Parlimen PKR Kapar, G. Manivannan dan Ketua Setiausaha Sekretariat pakatan pembangkang, Datuk Saifuddin Abdullah serta penyokong-penyokong PKR.
Jelas Rafizi, beliau tidak dapat mengulas mengenai laporan dan maklumat yang diserahkan kepada SPRM itu kerana tertakluk di bawah Akta SPRM 2009 yang tidak membenarkan perkara tersebut dibocorkan kepada umum.

“Saya telah serahkan maklumat yang saya ada setakat ini mengenai aduan-aduan yang diberikan kepada saya yang bersabit pentadbiran Kerajaan negeri Selangor dan individu-individu tertentu.

“Saya telah serahkan semua itu kepada SPRM, dan maka itu, saya tertakluk kepada Akta SPRM,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Pada 20 Mei lalu, Rafizi mengaku menulis mesej dalam aplikasi WhatsApp yang tersebar kepada umum mengenai habuan wanita dan wang yang diperlukan jika mahu berurusan dengan Kerajaan PKR negeri Selangor.

Dalam mesyuarat Biro Politik PKR pada 24 Mei lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail minta Rafizi mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan permintaan berkenaan kepada SPRM.

Menurut Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan, beliau meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa tekanan politik atau persepsi negatif.

“Ini adalah kes yang begitu jarang berlaku, yang mana sebagai Setiausaha Agung di bawah arahan Biro Politik parti sendiri membuat laporan dan menyerahkan maklumat kepada SPRM mengenai aduan salah laku anggota parti saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan menerima laporan yang dibuat Rafizi dan pihaknya akan menyiasat dakwaan rasuah berdasarkan maklumat yang diberikan.

“Walau bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi