Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Liang Teck Meng dan Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menjadi sasaran kerana peranan mereka dalam membangkitkan persoalan isu itu terhadap Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Gertakan politik itu sama se­perti kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan kami menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh dan membawa mereka yang bertanggungjawab untuk dihukum.

"Kedua-dua Teck Meng dan Tong Keong mendapat sokongan penuh daripada parti, adalah tugas kami selaku ahli politik dan warganegara yang prihatin untuk melontarkan soalan yang sahih dan meminta penjelasan daripada pihak yang tertuduh mengenai isu berkenaan," katanya sambil menambah Gerakan mengutuk sekeras-kerasnya ugutan itu.

Beliau berkata, tindakan berbahaya itu mesti dihentikan dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan hukuman yang berbentuk pengajaran sebelum ia merebak kepada satu budaya politik yang berunsur ganas, tidak mematuhi undang-undang dan menakutkan.

Media melaporkan ugutan bunuh itu diterima di dalam peti surat ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang dalam bentuk sampul surat merah jambu kitar semula bertarikh 11 April, mengandungi beberapa helai replika wang kertas yang digunakan dalam upacara sembahyang roh bagi masyarakat Cina.

Terdapat juga nota dengan mesej dalam Bahasa Inggeris "go to hell" kepada kedua-dua pemimpin itu.

Nota itu juga menuduh kedua-dua pemimpin itu mengkhianati kaum Cina di Malaysia dan dilampirkan juga keratan akhbar berbahasa Cina memetik Teck Meng bertanyakan soalan mengenai pembelian banglo Guan Eng semasa satu sidang akhbar.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown oleh Lim pada harga RM2.8 juta menimbulkan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu ber­kenaan di persidangan Dewan Rakyat dan mendakwa hartanah itu dibeli di bawah harga semasa pasaran.
Sementara itu, tanah di Taman Manggis yang diperuntukkan untuk pembinaan projek perumahan rakyat termiskin dijual kepada seorang pemaju untuk pembinaan sebuah hospital swasta dan hotel. – BERNAMA