Menurut Azharuddin Othman, 30, dia telah dihubungi oleh seorang wanita bernama Ema atau lebih dikenali dengan ‘Ratu Naga’ yang meminta untuk membeli pangkalan data berkenaan.

“Saya pernah bertemu dengan dia, namun kebanyakan komunikasi dilakukan melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada 27 April lalu dia telah menghubungi saya dan menawarkan RM5,000 untuk membeli pangkalan data itu bagi kegunaan projek memorandum Deklarasi Rakyat yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Presiden Gabungan Melayu Nusantara (GMN), Musatafar Abu Bakar.
Kata Azharuddin, wanita itu turut mengakui pangkalan data itu diperlukan secepat mungkin untuk tujuan pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat.

Jelas lelaki berasal dari Terengganu itu, dia menyerahkan pangkalan data tersebut melalui e-mel milik wanita terbabit beralamat prime.ratu@gmail.com.

Ditanya mengapa dia bertindak melakukan pendedahan tersebut, Azharuddin memberitahu, setelah semua proses penye­rahan pangkalan data itu selesai, wanita terbabit hanya membayar RM1,000.

“Saya hanya mendapat RM1,000 sahaja dan sehingga kini saya masih tidak menerima baki bayaran seperti yang dijanjikan.

“Saya juga telah membuat akuan bersumpah tentang perkara ini dan saya juga mempunyai salinan komunikasi WhatsApp dan e-mel antara saya dengan wanita berkenaan,” katanya yang mengaku sedar dan bertanggungjawab terhadap pendedahan itu.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, apa yang telah berlaku amat memalukan selain bersimpati terhadap pihak yang turut bersamanya dalam gerakan deklarasi itu.

“Sudah saya jelaskan dari awal Mahathir dan pengikutnya tidak pernah berubah, Mereka mengamalkan politik Machiavelli yang tegar dan akan melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat mereka,” ujarnya.

Pada 18 Februari lalu, seorang wanita, Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, yang menggunakan nama samaran Ratu Naga di laman sosial Facebook didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghantar komen bersifat menghina Perdana Menteri pada Oktober lalu menerusi Facebook.

Sementara itu, ‘Ratu Naga’ dalam Facebook miliknya hari ini mendakwa dirinya difitnah dengan dakwaan terlibat dalam penipuan tandatangan Deklarasi Rakyat dan menyatakan akan membuat sidang akhbar untuk menjawab tuduhan itu.