Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, prinsip undang-undang iaitu "keadilan yang diperlambatkan adalah keadilan yang dinafikan" harus diguna pakai dalam mengendalikan kes, terutama membabitkan orang kenamaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa seharusnya bertindak segera dengan memanggil semua pihak berkaitan sama ada yang dianggap 'suspek' mahupun yang berkemungkinan menjadi saksi kes.

"Tindakan segera berdasarkan undang-undang dan prosedurnya harus diambil tanpa lengah, lebih-lebih lagi pihak yang terdakwa sendiri menyatakan sedia disiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata Pas juga berpandangan cadangan debat antara Guan Eng dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bukan sahaja sia-sia malah menimbulkan lebih banyak keresahan dan 'serang menyerang' dalam kalangan anggota masyarakat yang menganggotai pelbagai parti politik yang sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, dalam suasana rakyat menghadapi masalah dengan pelbagai tekanan kehidupan terutama di segi ekonomi dan sara hidup ditambah dengan cuaca serta iklim dunia yang tidak menentu, semua pihak sepatutnya menumpukan kepada usaha yang membawa kepentingan rakyat dan bukannya terlalu banyak berpolitik.

"Amalan debat dan seumpamanya sememangnya perlu digalakkan dalam negara ini dalam rangka menyuburkan amalan demokrasi namun debat politik yang melibatkan kes seumpama rasuah atau jenayah secara khusus tidak seharusnya dijadikan budaya dalam masyarakat kita apatah lagi melibatkan pihak yang mendakwa dan pihak terdakwa," katanya.

Takiyuddin berkata, debat berkenaan sebenarnya boleh merumitkan keadaan, mengganggu proses siasatan yang telus serta menjejaskan proses keadilan keseluruhannya.
"Oleh itu, saya beranggapan debat itu harus dibatalkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Pada 6 April lepas, Abdul Rahman mencabar Guan Eng berdebat secara terbuka berhubung isu berkenaan dan cabaran itu disahut Setiausaha Agung DAP itu. - Bernama