..

..

PTPTN NAFI SONGLAP DUIT AKAUN TABUNG HAJI PEMINJAM SEPERTI DISEBARKAN DI MEDIA SOSIAL

on Wednesday, April 13, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments





– Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Hj Nasarah hari ini menafikan pihaknya telah mengambil duit RM30,000 daripada akaun Tabung Haji peminjam PTPTN seperti yang disebarkan di dalam laman sosial.
Menurut beliau sebagaimana sedia maklum, semua transaksi pengeluaran mahupun pindahan wang yang dibuat bagi mana-mana akaun, tidak kira sama ada akaun bank atau akaun Tabung Haji adalah atas arahan dan kebenaran pemegang akaun itu sendiri.
“Bayaran balik secara terus melalui simpanan dalam akaun Tabung Haji bukanlah merupakan saluran bayaran balik yang telah disediakan oleh PTPTN. Saluran bayaran balik pinjaman PTPTN adalah sama ada melalui kaunter PTPTN di seluruh negara, kaunter ejen (Bank Islam, CIMB Bank, BSN Bank Rakyat, Pos Malaysia), potongan gaji atau pengeluaran Akaun II KWSP.
Peminjam juga boleh membuat bayaran secara online yang mana transaksi dilakukan oleh peminjam itu sendiri melalui MyPay Mobile Web PTPTN, Electronic financial solution (e-Fes) di portal rasmi PTPTN; atau Perbankan internet menerusi Bank Islam, CIMB Bank, Bank Rakyat, Maybank, Public Bank, RHB Bank, Pos Online, Affin Bank, Ambank, Agro Bank dan BSN,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tegasnya PTPTN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat tindakan mengambil duit simpanan peminjam mahupun mengakses akaun Tabung Haji tersebut sebaliknya berita terbabit adalah khabar angin atau suatu fitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi memburukkan imej PTPTN.
“Justeru, orang awam diminta agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan khabar angin yang telah disebarkan. Mahasiswi berkenaan juga disarankan untuk membuat laporan polis atas kehilangan duit simpanan di dalam akaun Tabung Haji beliau.”
Maklumat berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui talian Khidmat Pelanggan 03 – 2080 4455, laman sesawang (website) dan media sosial rasmi PTPTN.
Pada masa yang sama Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong menegaskan PTPTN bukan pembiayaan berunsur riba sebagaimana yang disebarkan melalui laman sosial baru-baru ini.
“PTPTN adalah pembiayaan pendidikan yang patuh syariah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam. Ujrah atau upah 1 peratus setahun atas kadar rata adalah amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan serta diperlukan bagi menampung kos operasi PTPTN termasuk kos bagi pengurusan dan pentadbiran setiap akaun peminjam.
“Sebagai contoh, sekiranya pembiayaan adalah melibatkan RM20,000 dalam tempoh 10 tahun, maka upah atau Ujrah dikenakan sebulan hanyalah RM16.67 dan setahun sebanyak RM200.00 sahaja. Jelas, Upah atau ujrah ini adalah amat minimum dan tiada mana-mana institusi kewangan lain yang mengenakan caj serendah ini.
“Selain itu, peminjam juga tidak dikenakan sebarang kenaan Ujrah atau Upah sekiranya membuat bayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Bagi meringankan lagi bebanan peminjam PTPTN, pelaksanaan pengecualian bayaran balik pembiayaan PTPTN turut disediakan.
“Peminjam PTPTN diberikan kemudahan untuk tidak perlu membayar balik walau sesenpun kepada PTPTN dengan syarat peminjam perlu fokus, belajar bersungguh-sungguh di institusi pengajian tinggi dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama,” katanya.
Jelas beliau, semenjak tahun 2003, PTPTN tidak lagi menerima geran daripada kerajaan dan telah mendapatkan dana atau meminjam daripada institusi kewangan seperti KWSP, CIMB, Ambank, RHB dan Maybank melalui pinjaman jangka panjang dan penerbitan Sukuk untuk tujuan pemberian pinjaman kepada peminjam PTPTN.
“PTPTN telah dikenakan faedah sehingga 5% atas jumlah dana yang telah diperolehi. Peminjam PTPTN pula tidak dikenakan sebarang bayaran mahupun kos bagi menampung faedah tersebut. Dalam erti kata lain faedah pinjaman tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN dan bukan peminjam.
“Walau bagaimanapun, masih terdapat peminjam yang tidak mengambil peluang untuk bertukar daripada pembiayaan konvensional kepada pembiayaan Ujrah. Oleh itu, setiap peminjam perlu bijak mengambil peluang bertukar kepada pembiayaan Ujrah 1 peratus kerana ianya memberikan penjimatan sehingga hampir separuh kos pinjaman sebelum ini. Semua pinjaman konvensional yang belum membuat pertukaran kepada pembiayaan Ujrah adalah layak membuat pertukaran termasuk peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, di Malaysia sekalipun yuran pengajian dikenakan kepada pelajar tetapi Kerajaan telah memberikan subsidi sehingga 95% dan sebagai contoh, kos program pengajian perubatan di IPT awam sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya perlu membayar sebanyak RM9,000 sahaja.
“Negara maju di dunia juga telah mengenakan yuran pengajian di IPT awam antaranya United Kingdom, Ireland dan banyak lagi. Falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian sebenarnya adalah sebagai tanda penghargaan kepada nilai keilmuan dan meletakkan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.
“Kesedaran dan budaya perkongsian kos pengajian antara kerajaan dan masyarakat khususnya mereka yang mendapat kemudahan pembiayaan perlulah difahami bagi mengubah persepsi daripada bebanan kepada perkongsian tanggungjawab,” katanya. – MediaUMNO


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.