Menarik perhatian pertembungan calon DAP dan PKR sesama sen­diri di enam kerusi Dayak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah terang lagi bersuluh pakatan pembangkang tidaklah semantap permuafakatan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Jika tidak mana mungkin ada kalangan mereka yang bertan­ding dalam kerusi yang sama. Harap rakyat di negeri ini boleh menilai sendiri bagaimana jika pakatan itu memerintah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jabatan Sukarelawan (Rela) Bersama Pemimpin di Rumah Panjang, Rumah Margretta Kerangan Buloh di sini semalam.
Sehingga jam-jam terakhir pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang menyimpan hajat untuk menang lebih besar dalam pi­lihan raya negeri (PRN) ke-11 ini berbanding PRN 2011, mereka akhirnya gagal mencari titik pertemuan.

Kesudahannya, DAP-PKR bertembung di kerusi-kerusi majoriti Dayak.
Kali ini DAP bertanding di 31 ke­rusi, dengan 14 majoriti Cina, 16 ke­ru­si Dayak dan satu kerusi majoriti Mela­yu. PKR pula bertanding di 40 kerusi.

Terdahulu Ahmad Zahid meng­u­mumkan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi pembinaan jalan menghubungkan rumah panjang ber­kenaan yang sempit dan RM50,000 la­gi bagi menaik taraf balai raya yang rosak serta menambah baik tangki air di sini.
Kementerian Dalam Negeri yang diketuai beliau juga akan mengagihkan 300 pengusung untuk 300 rumah panjang di negeri ini bagi memudahkan penduduk menguruskan jenazah yang dibawa keluar selain bantuan Rela di tempat berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam BN terdapat satu atau dua kes yang mana bekas ahli komponen BN bertanding berdasarkan kepenti­ngan individu, bukannya parti.

“Malah calon terlibat tidak diiktiraf parti komponen dan mesra BN,” ujarnya.

Mengulas peranan Rela di negeri ini, Ahmad Zahid berkata, sumba­ngan Rela Sarawak terbukti tidak ketika pilihan raya sahaja tetapi setiap masa dengan sentiasa berada di garisan hadapan.

Oleh itu, kata beliau, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memperuntukkan RM8 juta dan beliau sendiri menambah RM8 juta lagi bagi memastikan kelengkapan Rela dalam menjalankan aktivitinya.

“Pilihan raya ini akan menentukan calon BN mendapat sokongan daripada rakyat terutama daripada anggota serta pegawai Rela di seluruh negeri ini yang merupakan kira-kira 35 peratus pengundi Sarawak.

“Anggota Rela adalah penggerak utama mendukung hasrat kerajaan kerana Rela berada di lapisan ke­se­lamatan kedua. Kalau sesuatu berlaku di Sarawak yang memerlukan penglibatan Rela, saya yakin Rela sanggup membantu pasukan polis dan tentera untuk pertahankan Bumi Kenyalang ini,” katanya.