Ketua Pemuda MCA negeri, Ooi Teik Liang berkata, sekiranya benar, beliau mendesak pemimpin DAP menyatakan sama ada amalan sebegitu adalah selaras dengan konsep integriti dan ketelusan yang sering diperjuangkan parti berkenaan.

Menurut beliau, perkara itu mungkin tidak menjadi isu dalam kalangan pembeli rumah lain namun mencetuskan tanda tanya apabila melibatkan pembelian oleh Ketua Menteri.

“Malah, kita yakin jika perkara ini dilakukan pemimpin Barisan Nasional (BN), pembangkang akan mengaitkannya dengan soal integriti dan hari ini kita menuntut penjelasan serupa daripada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Teik Liang, pihaknya difahamkan urusan dokumentasi dan perundangan dalam pembelian rumah Guan Eng yang dibeli pada harga luar biasa murah itu dilaksanakan firma guaman Ooi Eng Choo & Associates.




Firma guaman itu, katanya, mempunyai tiga panel peguam yang mana Betty Chew merupakan salah seorang daripadanya selain Eng Choo dan Oh Lee Lee.

Tambah Teik Lian, maklumat yang diperoleh pihaknya menunjukkan dokumentasi perundangan pembelian banglo Guan Eng itu disiapkan pada Ogos 2015 yang mana ketika itu, Betty masih lagi merupakan ahli panel firma guaman berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya tidak membuat sebarang tuduhan dalam membangkitkan perkara itu tetapi hanya mahu mengetahui pendirian pemimpin DAP sama ada kaitan tersebut adalah sesuatu yang biasa atau sebaliknya.

“Jika mereka beranggapan tiada yang luar biasa dalam kaitan ini, maka kita dapat menilai sejauh mana tahap integriti mereka.

“Tetapi jika mereka berasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam perkara ini, maka kita mendesak mereka bersuara dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya