Mengingatkan parti pimpinan Lim Kit Siang itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perbuatan DAP itu tidak boleh diterima sama sekali kerana akan merosakkan usaha rundingan sekali gus mengganggu proses pembebasan mangsa culik.

Menurut beliau, kerajaan menye­dari motif DAP itu mahu ‘memperlihatkan’ kepada rakyat terutama pengundi Sarawak kononnya pihak polis tidak mengusahakan sebarang tindakan untuk menyelamatkan mangsa.

Sedangkan, katanya, pihak berkuasa berusaha melakukan yang terbaik menerusi rundingan bukan sahaja dengan pihak berkuasa Fi­lipina malahan dengan penculik.





‘‘Emosi keluarga mangsa culik tidak seharusnya diganggu. Saya ingin beritahu rakyat Sarawak khususnya keluarga mangsa bahawa usaha sudah dan sedang dijalankan untuk membebaskan mangsa penculikan ini.

“Malah, pegawai kanan polis baru pulang dari Manila semalam untuk mengusahakan sesuatu. Berikan keyakinan kepada pihak berkuasa walaupun ia ambil masa sedikit kerana perbuatan ini dilakukan untuk mendapat wang tebusan.

“Ini semua diketahui oleh DAP tetapi sengaja memanipulasikan (insiden ini) supaya rakyat terkeliru. Jika penculik tertekan kerana tindakan DAP mengheret keluarga mangsa (dalam ceramah politik) dan mangsa tidak dibebaskan, maka DAP harus bertanggungjawab,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Jabatan Sukarelawan (Rela) Bersama Pemimpin di Rumah Panjang, Rumah Margretta Kerangan Buloh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, An­thony Nogeh Gumbek; Ahli Parlimen Julau, Josep Salang Gandum; Ketua Pengarah Rela, Datuk Kamariah Mohd. Noah; calon Barisan Nasio­nal (BN) Meluan, Roland Duat Jubin dan Tuai rumah, Margretta Tujang.

Ahmad Zahid berkata, keluarga mangsa harus meletakkan tanggungjawab kepada DAP atas tindakan mengheret mereka memanipulasikan insiden penculikan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan parti politik memainkan isu penculikan dan mengheret keluarga mangsa ke dalam kempen mereka akan menyukarkan lagi usa­ha pihaknya untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

“Kami faham situasi keluarga mangsa yang sentiasa inginkan bantuan bagi membawa pulang ke­semua mangsa yang diculik.

“PDRM berharap perkara ini tidak dipolitikkan dalam usaha me­raih sokongan orang ramai,” katanya di Petaling Jaya.