Setiausahanya, Oh Tong Keong berkata, bangunan usang tiga tingkat yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari tanah Taman Manggis itu dibeli dengan harga RM2.7 juta atau kira-kira RM910 sekaki persegi (0.09 semeter persegi).

Berbanding tanah Taman Manggis, tambahnya, hartanah itu dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang berharga RM11.5 juta atau hanya RM232 sekaki persegi.

Menurut beliau, apa yang me­nimbulkan kehairanan adalah bangunan usang yang kini terbiar itu dibeli Li Koon atas milikan persendirian pada 2010 iaitu setahun sebelum Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) membeli tanah Taman Manggis.

“Ini bermakna mereka menge­tahui nilai pasaran hartanah di kawasan Taman Manggis itu sebenarnya lebih tinggi, tetapi KLIDC sangat beruntung kerana ditawarkan hartanah tersebut pada harga cukup rendah.

“Jika nilai tanah Taman Manggis itu adalah sama seperti nilai ba­ngunan usang yang dibeli Li Koon tersebut, maka harga yang sepatutnya dibayar KLIDC untuk tanah berkenaan adalah RM45.3 juta, bukannya RM11.5 juta,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Kontroversi penjualan tanah Taman Manggis kembali dibangkitkan selepas turut dikaitkan dengan isu pembelian banglo Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, Jelutong di sini, pada harga luar biasa murah.



Banglo itu dibeli daripada Li Koon yang merupakan pemegang saham dalam syarikat lain bersama-sama pemegang saham dalam KLIDC yang membeli tanah Taman Manggis.

Menurut Tong Keong, pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk dokumen pindah milik tanah, bahagian atau pajakan yang me­nunjukkan tanah itu dibeli Li Koon pada 20 Disember 2010.


Dalam pada itu, Tong Keong turut menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menyenaraikan semua syarikat yang turut mahu membeli tanah di Taman Manggis tersebut.

Menurutnya, penduduk ne­geri ini berhak mengetahui berapa harga ditawarkan syarikat lain menerusi tender terbuka itu sebelum Kerajaan DAP Pulau Pinang memberikan hak milikan sementara kepada KLIDC.
“Kita berasa sangsi kerana mustahil syarikat lain yang menender untuk membeli tanah itu tidak membuat kajian nilai pasaran hartanah semasa di kawasan tersebut dan menawarkan harga lebih rendah daripada RM11 juta seperti dibuat KLIDC.

“Jadi, kita menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang bersikap telus dan senaraikan syarikat yang turut berminat membeli tanah ini serta berapa harga ditawarkan mereka,” katanya.