Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam tempoh tersebut juga, seramai 3,105 pendeposit Tabung Haji membatalkan pendaftaran haji mereka kerana terpedaya dengan fitnah pembangkang.

Beliau berkata, walaupun telah dinasihati Tabung Haji, mereka tetap berkeras membuat pengeluaran kerana termakan dengan fitnah yang mengatakan institusi tersebut rugi serta tidak mempunyai dana untuk membayar wang mereka.

“Bagi yang ingin membatalkan giliran (haji), mereka perlu ke kaunter Tabung Haji untuk mengisi borang khas mengisytiharkan persetujuan bagi mengeluarkan wang deposit sebanyak RM1,300 sekali gus membatalkan giliran haji.

“Daripada jumlah ini, 45 orang telah kembali untuk mendaftar semula setelah menyedari me­reka tertipu, namun bagi yang mendaftar semula, giliran terkini tempoh menunggu untuk menunaikan haji adalah 83 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Noriah Mahat mengenai status kewangan Tabung Haji dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berharap umat Islam di negara ini berpegang dengan prinsip tabayyun serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan di media sosial.

“Perkara ini akhirnya hanya akan menjejaskan umat Islam serta boleh meruntuhkan institusi Tabung Haji yang banyak berjasa kepada kita,” jelasnya