..

..

TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO TINDAKAN TERDESAK ORANG KECEWA

on Tuesday, March 1, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




Saya langsung tidak terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari UMNO.
Saya malah telah menjangkakan keputusan Tun Dr Mahathir ini dari awal lagi berdasarkan kepada siri kenyataan yang dibuat oleh beliau sejak tahun 2014 lagi.
Jika dilihat dalam tulisan beliau bertajuk "Menegur" pada 18 Ogos 2014 jelas Tun Dr Mahathir menyebut mengenai keputusan beliau menarik balik sokongan kepada Datuk Seri Najib.
Ketika ini alasan yang digunakan oleh Tun Dr Mahathir sangatlah umum, iaitu kerana "banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara."
Seterusnya, dalam tulisan beliau bertajuk "UMNO dan PRU 14" pada 2 April 2015, Tun Dr Mahathir pergi setapak lagi dengan mengumumkan bahawa "rakyat sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib" dan bahawa "ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14".
Bagaimanapun, penarikan sokongan Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Najib ini ternyata gagal mendapat perhatian dan sambutan ahli dan pemimpin UMNO mahupun rakyat umum.
Sebab itulah Tun Dr Mahathir menjadi lebih tertekan sehingga menyertai pula tunjuk perasaan anjuran BERSIH yang bertema singkirkan Najib kerana rasuah pada 29-30 Ogos 2015.
Di dalam tulisan beliau bertajuk "BERSIH" pada 1 September 2015, Tun Dr Mahathir jelas mensasarkan Ahli Dewan Rakyat UMNO dan BN pula dengan menyebut, "saya rayu kepada Ahli Dewan Rakyat UMNO dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti."
Malangnya, sekali lagi seruan Tun Dr Mahathir ini tidak mendapat perhatian dan sambutan daripada Ahli Dewan Rakyat UMNO dan BN, maka gagallah cubaan Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib melalui undi tidak percaya.
Apabila usaha ini gagal, Tun Dr Mahathir beralih pula untuk menyeru ahli UMNO menggulingkan Datuk Seri Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Disember 2015.
Dalam tulisan beliau bertajuk "Wahai Ahli UMNO" pada 10 September 2015, Tun Dr Mahathir menyeru bahawa "jika Najib tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan memimpin BN, besar kemungkinan BN dan UMNO akan menang", bahawa "ahli-ahli UMNO yang sayang dan ingin UMNO kekal dan berkuasa perlu tolak Najib sebelum pilihan raya" dan bahawa "jika sayang UMNO tolak Najib sekarang".
Sekali lagi menjelang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, Tun Dr Mahathir merayu perkara sama kepada ahli dan pemimpin UMNO dalam tulisan beliau bertajuk "Surat Kepada Ahli Dan Pemimpin UMNO Akar Umbi" pada 30 November 2015.
Dalam tulisan ini, beliau menyeru: "Wahai ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi. Jika ingin selamat dan menang tolaklah kepimpinan Datuk Seri Najib sebelum PRU 14. Tolaklah kepimpinannya sebelum PRU 14 supaya UMNO selamat dan mampu memenangi PRU dan kekal sebagai kerajaan yang adil kepada semua."
Malangnya, sekali lagi seruan Tun Dr Mahathir ini tidak mendapat perhatian dan sambutan daripada ahli dan pemimpin UMNO, malah Datuk Seri Najib masih utuh sebagai Presiden UMNO selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO.
Bila dilihat dalam konteks yang menyeluruh seperti inilah maka tindakan Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO adalah tidak lebih daripada luahan kekecewaan beliau ke atas kegagalan beliau untuk mempengaruhi ahli dan pemimpin UMNO dan BN untuk menggulingkan Datuk Seri Najib.
Tun Dr Mahathir dilihat terdesak untuk berbuat sesuatu sekarang bagi membuktikan bahawa beliau masih berpengaruh dan bahawa kata-kata beliau masih masin.
Bagaimanapun, jika beliau menjangka bahawa Datuk Seri Najib akan terpaksa meletakkan jawatan ekoran tindakan beliau keluar dari UMNO, maka jangkaan Tun Dr Mahathir ini sudah hampir pasti akan salah.
Datuk Seri Najib bukanlah Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan tidak mustahil keluarnya Tun Dr Mahathir dari UMNO ini akan lebih menguatkan kedudukan Datuk Seri Najib.
Dengan tiadanya Tun Dr Mahathir di dalam UMNO maka Datuk Seri Najib tidak lagi berhadapan dengan masalah kewujudan duri dalam daging, berhadapan dengan serangan dari luar adalah jauh lebih mudah dari berhadapan dengan serangan dari dalam.
Jika tindakan Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO ini dilihat sebagai tamparan kepada Datuk Seri Najib, maka bukankah Tun Dr Mahathir sendiri menerima tamparan jauh lebih hebat dulu apabila bukan seorang tetapi dua orang bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri yang tidak bersama beliau, iaitu Tengku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn?
Malang sekali jika saat-saat akhir kehidupan seorang negarawan yang pernah berjasa kepada tanahair tercinta disia-sia dengan membiarkan diri diperguna.
Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.


3 Responses

  1. cukup lh sampai disini.umpama duri dalam daging.

  2. Anonymous says:

    RAKYAT AMAT GEMBIRA BILA TUN KELUAR UMNO.ADA SIAPA2 MENANGIS,TAK ADA PUN.KEPADA DATUK SERI NAJIB TERUSKAN KEPIMPINAN DATUK SERI CARA TERSENDIRI,RAKYAT DAPAT MENILAI KEUPAYAAN DATUK SERI.KAMI TETAP MENYOKONG KEPIMPINAN DATUK SERI YANG LEBIH CEMERLANG,PENUH KESABARAN DENGAN PELBAGAI TOMAHAN DAN FITNAH TERUTAMA DARI BEKAS PERDANA MENTERI YANG MEMPERJUANGKAN WAWASAN UNTUK DIRINYA DAN KELUARGA.CUKUPLAH DAH 22 TAHUN,BERHENTI PUN DAH LAMA DAH.KELUARGA PUN DAH KAYA RAYA.NAK APA LAGI TAK KAN NAK JADI PM SEMULA...... EEE MALUNYA.

  3. Anonymous says:

    Mana awak tahu. ?.....tahukah awak ramai rakyat biasa yang menyokong Dr M. awak pemakan dedak je....tunggu PRU 14, baru kau tahu langit tinggi rendah.ramai rakyat dah muak dengan pemimpin umno sekarang....huek....

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.