..

..

RUMAH MAMPU MILIK KERAJAAN DAP RM400 RIBU TAK MASUK AKAL - JASON LOO

on Monday, March 14, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




PROJEK KONDOMINIUM LANGGAR GARIS PANDUAN
PULAU PINANG 11 Mac - Projek kondominium Quay West Residence di Bayan Baru, di sini yang sebelum ini didedahkan menawarkan ‘rumah mampu milik’ pada harga RM400,000, turut dipersoal kerana dirancang dibina melebihi kepadatan dibenarkan.
Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan negeri, Jason Loo men­dakwa, projek itu yang akan dibina di atas tanah seluas tiga hektar (7.4 ekar) membabitkan pembinaan dua bangunan setinggi 24 tingkat dan menawarkan sebanyak 1,235 unit kondominium.
Menurutnya, ini bermakna menerusi projek itu, pemaju dibenarkan membina sebanyak 167 unit rumah dalam 0.4 hektar tanah iaitu lebih dua kali ganda daripada kepadatan yang dibenarkan menerusi polisi kerajaan negeri.
“Berdasarkan garis panduan pembinaan rumah oleh kerajaan negeri, hanya 87 unit rumah dibenarkan dibina dalam setiap 0.4 hektar tanah.
“Jadi, kita mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan bagaimana pemaju Quay West Residence ini seolah-olah mendapat keistimewaan sehingga dibenarkan membina lebih banyak rumah sekali gus membelakangkan polisi kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.
Semalam, beliau mempersoalkan bagaimana projek perumahan Quay West Residence itu, yang menawarkan unit rumah seluas 60 meter persegi dengan dua bilik, boleh diklasifikasikan sebagai rumah mampu milik sedangkan dijual pada harga RM400,000 seunit.
Dalam pada itu, Jason turut mendedahkan projek kondominium tersebut jelas tidak selari dengan garis panduan keluasan dan harga yang sepatutnya ditawarkan seperti ditetapkan Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Jelas beliau, berdasarkan garis panduan itu, rumah yang berkeluasan 70 meter persegi tidak boleh dijual melebihi harga RM200,000, 79 meter persegi (RM300,000) manakala 84 meter persegi (RM400,000).
Selain itu, katanya, garis panduan pembinaan perumahan tersebut juga menetapkan setiap rumah mampu milik harus disertakan dengan seunit tempat letak kereta.
“Tetapi dalam projek Quay West Residence ini, pemaju bukan sahaja menawarkan unit rumah melebihi harga yang ditetapkan mengikut keluasan, tetapi turut menjual tempat letak kereta pada harga RM50,000.
“Harga unit tempat letak kereta itu sangat tidak logik dan terlalu tinggi berbanding ditawarkan di projek kondominium lain,” katanya.
Menurut Jason, apa yang dibimbangkan ketika ini adalah projek seperti Quay West Residence itu dirancang dibina pemaju di sekitar pulau negeri ini pada masa depan dengan diberi kebebasan sepenuhnya oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Keadaan itu jika dibiarkan, kata beliau, akan menyebabkan penduduk negeri ini terus tertekan untuk memiliki rumah sendiri dan bahagian pulau kelak hanya akan didiami golongan kaya.
Dalam masa sama, beliau mempertikaikan mengapa terlalu banyak keistimewaan diberikan kepada pemaju sehinggakan ada yang sewenang-wenangnya melanggar garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.
“Tetapi malangnya, kerajaan negeri mempersalahkan pihak lain seperti bank yang kononnya memperketat syarat dan tidak meluluskan permohonan pinjaman perumahan.
“Sedangkan dasar dan polisi mereka sendiri yang menghalang penduduk negeri ini membeli rumah meskipun pada hakikatnya, penduduk sangat terdesak untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.