Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan terdapat kepincangan dalam proses penjualan tanah di Taman Manggis Fasa Dua di sini.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyerahkan dokumen baharu berkaitan kelulusan yang dibuat Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam urusan jual beli tanah itu agar siasatan dapat dibuat.

Menurutnya, pihaknya juga akan membuat laporan berkaitan kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipercayai memiliki dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah itu.

‘‘Hari ini kami akan serahkan dokumen yang baharu diperoleh berkaitan kelulusan penjualan tanah yang diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) itu.
‘‘Selepas ini satu lagi laporan akan dibuat kepada SPRM apabila kami terima dokumen yang didakwa dimiliki oleh Abdul Rahman berkaitan S&P tanah itu,’’ katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan dokumen itu di pejabat SPRM hari ini.

Sementara itu, SPRM juga digesa menyiasat dakwaan Guan Eng yang beliau tidak mengetahui nilai semasa banglo yang dibelinya pada harga RM2.8 juta iaitu jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.

Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sebagai individu yang mempunyai latar belakang sebagai akauntan, mustahil Guan Eng tidak mengetahui hal itu.

‘‘Ini hanyalah helah beliau dan ada banyak bukti yang menunjukkan dakwaan beliau tidak betul. Kita sudah buat semakan, sewaktu hendak transfer property, kena bayar duti setem dan taksiran dibuat adalah pada kadar harga semasa, tak betul kalau beliau tak tahu nilai rumah,’’ ujarnya.