Beliau berkata, Perdana Menteri perlu memikirkan tentang hala tuju negara selepas 100 tahun penubuhan Malaysia.

Menurut Abdullah, bahagian penghujung kembara politik Najib juga bakal melakar perjalanan baharu bagi Malaysia selepas 2020.

“Saya yakin Najib akan terus memberikan yang terbaik untuk negara kita. Ketika cabaran menggunung, renung sedalamnya ke hati sanubari untuk mencari idealisme dan visi yang membuatkan Najib memilih politik daripada puluhan pilihan yang ada.

“Buatlah perkara yang betul bukan hanya untuk menyambung legasi kepemimpinan ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, tetapi untuk mencorak masa depan Malaysia melangkaui dekad ini,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran buku Najib Razak Berjiwa Besar Empat Dekad Menongkah Arus Kepimpinan dan Politik (1976-kini) di sini hari ini.
Pada majlis sama, Najib mendeklamasikan nukilannya yang bertajuk ‘Coretan Empat Dekad (1976-kini) yang merangkumkan pengalaman pahit manis beliau ketika mengharungi kembara politiknya sejak 40 tahun lalu.

Nukilan kreatif Perdana Menteri itu turut dimuatkan dalam buku berkenaan.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta penulis buku tersebut, Prof. Datuk Seri Khairil Annas Jusoh dan Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Buku setebal 467 muka terbitan Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) itu mengisahkan liku-liku kehidupan, suka dan duka, saat-saat getir, peristiwa tidak diduga serta cabaran yang dilalui Najib sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam dunia politik.
Abdullah memberitahu, kesabaran Najib selama berdekad dan pengalaman luasnya membuahkan hasil apabila berjaya melengkapkan perjalanan politiknya dengan me­nyandang jawatan Perdana Menteri seperti bapanya.

Beliau percaya, sekiranya Tun Abdul Razak masih hidup, Allahyarham pasti sangat berbangga dengan pencapaian anak sulungnya itu.

“Kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi adalah penting tetapi perlu diiringi dengan sifat berintegriti, jujur dan empati,” jelasnya.

Abdullah turut berbangga dengan kejayaan pelbagai program transformasi yang dilaksanakan Najib sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada beliau pada 3 April 2009.

“Terimalah ini sebagai nasihat daripada seorang tua. Jadilah seorang pemimpin yang dikasihi serta dihormati, bukan yang digeruni,” katanya.