“Kami akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyua­rat Majlis Tertinggi (UMNO) akan datang,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kedua-dua pemimpin itu yang hadir dalam Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di Shah Alam, semalam.

Muhyiddin dan Mukhriz antara 18 individu yang berucap dalam majlis berkenaan yang dianjurkan oleh kumpulan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

“Kami akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyua­rat Majlis Tertinggi (UMNO) akan datang,” kata Zahid.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Sabtu lalu mene­gaskan bahawa ahli UMNO yang hadir ke majlis berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang daripada parti.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengetuai kumpulan penganjur ketika berucap dalam majlis itu berkata, tidak semestinya Ahmad Zahid akan menggantikan Najib walaupun beliau berstatus Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas kenyataan Dr. Mahathir itu, Ahmad Zahid dengan berseloroh berkata: “Mungkin dia ingat dia tuhan”.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil ketetapan bahawa Mukhriz Mahathir perlu dipecat keanggotaannya daripada parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu sebagaimana yang terkandung secara bertulis dalam Deklarasi Kelantan bahawa mana-mana ahli UMNO yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Najib perlu disingkirkan daripada parti.

“Kami sudah menyatakan dalam Deklarasi Kelantan bahawa mana-mana individu yang menyokong pendirian menjatuhkan Najib perlu dipecat daripada parti.
“Perkara itu tertulis dalam deklarasi yang kita bacakan pada 19 Mac lalu ketika perhimpunan di Kota Bharu sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri pada 24 Mac lalu di Parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.