Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPRM tidak boleh dilihat melindungi pelaku rasuah dan juga tidak boleh dilihat menjadi alat kepada mana-mana pihak yang cuba memburukkan seseorang dengan isu rasuah tanpa penjelasan hasil daripada siasatan.

“Dalam kes yang membabitkan laporan rasuah ke atas Guan Eng, saya mengalu-alukan dan menggesa SPRM mempercepatkan siasatan berhubung isu pembelian rumah di bawah harga pasaran yang berharga RM2.8 juta.

“Jika didapati hasil siasatan mempunyai bukti yang mencukupi, SPRM boleh mencadangkan pertuduhan ke atas Guan Eng untuk diambil tindakan pendakwaan oleh Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Mahfuz, beliau juga ingin mengetahui kebenaran berhubung isu pembelian banglo tersebut dan bagaimana Guan Eng boleh membeli rumah tersebut di bawah harga pasaran.
“Saya menggesa SPRM menyiasat apakah ada timbal balas daripada jual beli ini? Saya juga tidak bertolak ansur atas segala salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkuasa.

“Syabas saya ucapkan kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang begitu tegas dan keras membangkitkan isu pembelian rumah oleh Guan Eng,” katanya.
Dalam sidang Dewan Rakyat 17 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mendakwa rumah berkeluasan tanah 943.98 meter persegi didakwa dibeli Guan Eng pada 25 Oktober tahun lalu daripada seorang ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta dan menggesa satu siasatan dijalankan ke atas Guan Eng.
Menurut Shabudin, nilai pasaran harga rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta