Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Guan Eng harus menghentikan sikap itu memandangkan setakat ini beliau masih gagal memberikan hujah balas bagi menyangkal dakwaan terhadapnya.

“Saya masih menunggu jawapan beliau. Tidak ada guna bawa wartawan berkunjung ke rumahnya dan membuat muka monyok ketika bergambar bersama isteri kerana ia tidak mampu dijadikan bukti beliau tiada kaitan dalam isu pembelian banglo dan tanah di Taman Manggis.

Semua itu saya lihat sebagai drama murahan dan menonjolkan sikap kebudak-budakan beliau dalam menangani isu besar tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Guan Eng menjelaskan kaitan pembelian banglonya dengan penjualan tanah di Taman Manggis.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tindakan Guan Eng bergambar dengan menunjukkan kerusi kosong yang sepatutnya diduduki oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya sambil minum kopi di pejabatnya dilihat sebagai cubaan yang gagal untuk membangkitkan isu sampingan.

“Setakat ini, saya lihat Guan Eng menggunakan taktik drama dan retorik untuk mempertahankan diri, bukannya melalui hujah serta bukti yang kukuh.

“Jangan ingat rakyat boleh tertipu dengan cara kebudak-budakan beliau menangani itu,’’ katanya.