Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu ber­kenaan tidak seharusnya timbul memandangkan setiap simpanan dan caruman yang dibuat menerusi Tabung Haji adalah dijamin oleh kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan itu juga tidak menggambarkan kedudukan sebenar isu sebagaimana yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga menyebabkan masyarakat salah fa­ham.

“Di bawah Tabung Haji, pendeposit dijamin oleh kerajaan dan tidak timbul isu rugi, wang simpanan pendeposit hilang atau tidak mampu membayar dividen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas me­rasmikan Kejohanan Futsal Gu-Majlis Belia Kelantan (MBK) dan Persatuan Permotoran di Futsal Arena, Padang Tembak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua MBK, Mohd. Syahbudin Hashim.

Asyraf Wajdi ber­kata, pengumuman serta pembayaran dividen Tabung Haji agak lambat kali ini kerana Jabatan Audit Negara sedang me­lakukan pengauditan.

“Dividen Tabung Haji hanya boleh diumumkan setelah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan ini adalah proses biasa.

“Secara keseluruhannya biarlah pihak Tabung Haji yang akan me­ngumumkan dividen pada awal Februari ini,” katanya.