Sehubungan itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, tidak wajar untuk mana-mana pihak berterusan membangkitkan kelayakan akademik Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sedangkan beliau sudah 35 tahun terlibat dalam politik.
Katanya, malah Ahmad Bashah pernah menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain turut menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

‘‘Jangan menghina dan merendahkan peribadi seseorang. Beri peluang kepada Ahmad Bashah untuk memperlihatkan kemampuan beliau mentadbir negeri Kedah,’’ katanya dalam sidang akhbar di hotel penginapannya di sini hari ini.

Beliau yang berada di Beijing sejak Isnin lalu kemudian berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sepatutnya tempoh 100 hari pertama Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar Kedah harus menjadi ukuran awal untuk melihat prestasi beliau dan bukannya membuat tuduhan melulu.

‘‘Saya kenal Ahmad Bashah secara peribadi sejak 1987. Walaupun tahap akademiknya lebih rendah daripada keperluan kini tetapi kita harus melihat titik positif yang ada pada beliau iaitu pengalamannya dalam pentadbiran negeri dan Pusat.

‘‘Dan jangan lupa keterlibatan beliau dalam politik selama lebih 35 tahun. Ini satu jangka masa panjang.

‘‘Insya-Allah kita akan sama-sama membantu Ahmad Bashah mentadbir negeri Kedah dan dengan hubungan baik antara beliau dan pemimpin Pusat, mungkin banyak peruntukan tambahan boleh dipertimbangkan untuk membangunkan negeri itu,’’ jelasnya.