Timbalan Perdana Menteri ber­kata, langkah itu perlu kerana tenaga kerja asing kini menguasai sektor tersebut, yang membabitkan industri perladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berikutan tiadanya belia tempatan yang sanggup bekerja di bidang tersebut telah menyebabkan pihak industri terpaksa mengambil pekerja asing.

“Saya minta semua belia dan remaja ambil kerja di ladang kelapa sawit, menjadi pekerja pembinaan di tengah panas, bekerja cuci longkang dan sapu sampah di Malaysia.
“Kerajaan secara idealnya mahu semua bidang pekerjaan dari peringkat atas, peringkat bawah sehinggalah kepada pekerjaan 3D (diisi) oleh rakyat tempatan, namun, berapa ramai (rakyat tempatan) yang hendak bekerja menjadi tukang masak di restoran mamak, berapa ramai yang sanggup bekerja dalam sektor-sektor yang tidak mahu diceburi oleh rakyat kita termasuk kilang-kilang perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Ke-32 Majlis Belia Selangor (MBS) di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar serta lebih 200 perwakilan MBS.

Timbalan Perdana Menteri ber­kata, kerajaan pernah menerima aduan daripada pihak industri perabot yang memerlukan kira-kira 160,000 orang tenaga kerja.

“Inilah masalah kita. Bukan kerajaan tetapi pemain industri yang ingin membawa masuk pekerja asing ke Malaysia kerana pekerja tempatan cuma mampu bertahan satu hingga tiga bulan sahaja dalam sektor itu, walaupun menerima kemudahan seperti insurans, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insentif bonus dan sebagainya.
“Saya bukan cabar pemain industri, majikan, persatuan ber­kaitan tetapi belia-belia untuk bekerja di dalam sektor dinyatakan. Ambil alih sektor tersebut daripada pekerja asing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menggesa golongan belia supaya menjadi aset serta sumber modal insan yang terbaik kepada pembangunan negara pada masa depan.
Selain itu, beliau turut meminta kepimpinan pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini supaya bergiat aktif menarik lebih ramai golongan itu terlibat dengan aktiviti berpersatuan supaya dapat melahirkan jalinan perpaduan yang kuat di antara mereka daripada pelbagai kaum.
Ini kerana katanya, setakat ini penglibatan golongan belia dalam aktiviti berpersatuan adalah kurang daripada 40 peratus terutamanya dari kalangan bukan Melayu.