Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji berkata, sehingga kini syarikat tersebut berjaya mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak RM609 juta berbanding jumlah pada akhir tahun 2014 iaitu RM293 juta.

Sehubungan itu, katanya, bonus yang dibayar kepada semua pendeposit Tabung Haji dibayar berdasarkan keuntungan tahun semasa dan tidak menggunakan rizab.

“Tabung Haji mempunyai dua kategori rizab iaitu Rizab Boleh Agih dan Rizab Tidak Boleh Agih. Rizab Boleh Agih terdiri daripada keuntungan terkumpul dan juga keuntungan tahun semasa.

“Rizab Tidak Boleh Agih adalah daripada Rizab Nilai Saksama yang berubah mengikut pasaran saham semasa. Setakat ini, Tabung Haji telah mengkreditkan sebanyak RM3.2 bi­lion bayaran bonus kepada 8.85 juta pendepositnya sejak Isnin lalu,” katanya dalam satu ke­nyataan, di sini hari ini.

Semalam, Rafizi Ramli melalui portal propembangkang Malaysiakini mendakwa rizab Tabung Haji terus mencatatkan kedudukan negatif pada tahun 2015 bagi dua tahun berturut-turut.

Dakwa Rafizi, rizab yang negatif bermakna Tabung Haji tidak berkeupayaan memulangkan semua simpanan Tabung Haji jika ia dituntut serentak oleh pendeposit.

Dalam pada itu, Tabung Haji menegaskan bahawa penyata kewangan syarikat itu disediakan mengikut piawaian pelaporan kewangan yang diterbitkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan berdasarkan prinsip syariah.

“Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut mengesahkan pihaknya menyemak polisi perakaunan yang digunakan adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat,” jelas kenya­taan tersebut.
“Oleh yang demikian, tiada sebarang isu berkaitan dengan ‘creative accounting’ yang diguna pakai seperti yang didakwa segelintir pihak sebelum ini,” katanya