Menerusi satu kenyataan hari ini, Tabung Haji menjelaskan langkah itu diambil untuk menjaga kepen­tingan pendeposit dan reputasi Tabung Haji sebagai sebuah institusi Islam di Malaysia.

Tabung Haji berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin.

“Tabung Haji sekali lagi menafikan tuduhan memberi jaminan korporat kepada THHE.

“Selain itu, kami juga minta Rafizi menamakan bank yang memberikan pinjaman kepada THHE dengan surat jaminan korporat Tabung Haji seperti didakwa beliau,” kata kenya­taan itu.

Tabung Haji sebelum ini menafikan dakwaan Rafizi yang juga Naib Presiden PKR bahawa pihaknya memberi jaminan korporat kepada THHE.

Agensi itu juga menyifatkan tuduhan pelaburan mereka dalam THHE akan mengalami kerugian sebanyak RM1.4 bilion sebagai tidak berasas.

Bagaimanapun, Rafizi pada Jumaat lalu bertegas bahawa terdapat jaminan korporat oleh Tabung Haji kepada THHE.

Mengulas lanjut, Tabung Haji menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah, selain kesal dengan penyebaran dokumen melalui laman sosial secara rambang.

“Dakwaan yang dibuat oleh Rafizi itu memberi impak negatif kepada Tabung Haji dan pada masa sama menjejaskan kepentingan para pendeposit,” jelas kenyataan itu.