Rakyat Sarawak perlu menterjemahkan keyakinan dan kepercayaan yang ada pada mereka dalam bentuk undi kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka diadakan pada April tahun ini.

 Timbalan Perdana  Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Adenan meneruskan daya kepimpinan yang baik diwarisi daripada pemimpin negeri terdahulu.
Menurutnya, beliau tahu Adenan seorang pemimpin yang sangat popular kerana ucapan dan begitu arif dalam menangani isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat di negeri ini.

"Bila datang pilihan raya negeri (PRN), semua rakyat Sarawak harus bersama-sama dalam memberi sokongan penuh mereka supaya beliau (Adenan) boleh terus menerajui kerajaan.

"Sebab itu di tempat-tempat di mana saya mengadakan sesi bertemu rakyat, saya menggesa mereka untuk terus menyokong kerajaan sekarang yang dipimpin oleh seorang yang sangat mesra rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari di sini hari ini.

Berhubung kontroversi mengenai cadangan Adenan berkaitan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, sebagai ketua BN negeri ini, Adenan hanya mencadangkannya.

"Tetapi pembangkang telah menuduh beliau menetapkan tarikh berkenaan kepada suruhanjaya itu.

"Keputusan muktamad berhubung kedua-dua tarikh ini hanya eksklusif kepada Suruhanjaya itu (SPR). Tidak ada keraguan mengenai perkara ini," kata Ahmad Zahid. - Bernama