Pengerusi Yayasan Minda, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah (gambar) berpendapat, sikap berhati-hati itu yang teguh itu sebenarnya sukar untuk mereka leraikan sehingga ada pemimpin parti politik sanggup mengecam mereka sebagai ‘Melayu bodoh’.

Katanya, cukup malang ke­rana Presiden PAN, Mohamad Sabu tergamak menghina bangsa sendiri setelah usaha mereka selama ini untuk mendapat sokongan mendapat sambutan dingin.

“Saya percaya kenyataan sebegitu disebabkan terlalu emosional sehingga jadi tak rasional kerana kecewa dalam politik. Beliau mesti faham, bukan soal Melayu bodoh, tapi sebab Melayu cerdiklah.

“Itu sebab dia hendak Melayu sokong PAN baharulah Melayu cerdik. Tak betullah itu, orang Melayu pun boleh fikir, tengok apa yang mereka buat? Apa jasa mereka kepada negara, tidak ada, menyusahkan adalah,” katanya yang ditemui dalam Majlis Konvensyen Mahasiswa Permata di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini baru-baru ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud.
Ibrahim mengulas kenyataan Mohamad dalam beberapa siri ceramahnya yang menuduh orang Melayu terutama golo­ngan menengah sebagai bodoh, bahalol dan bangang kerana tidak memberi sokongan kepada pembangkang sehingga gagal mengambil alih pemerintahan negara.
Tambah Ibrahim, sebagai individu yang pernah menerajui Universiti Teknologi Mara (UiTM), dapat dilihat dengan jelas betapa orang Melayu mempunyai tahap kecerdikan setanding berbanding bangsa lain.
Ditanya pendapatnya mengenai Mohamad yang turut menyokong demonstrasi selain proses pilihan raya untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan, bekas Naib Canselor UiTM itu menegaskan, rakyat di negara ini tidak perlu berbuat demikian.
“Ini kerana proses memilih kerajaan itu boleh dilakukan oleh rakyat mengikut saluran undang-undang yang sah melalui proses pilihan raya yang biasanya diadakan setiap lima tahun sekali.
“Mengapa perlu demonstrasi dalam suasana kacau-bilau untuk jatuhkan kerajaan, kita ada proses demokrasi, nak jatuh kerajaan bukan dengan cara itu tetapi melalui pilihan raya,” tegasnya.