Perdana Menteri berkata, beliau selaku pemimpin tertinggi kerajaan sentiasa menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini iaitu pada setiap lima tahun, rakyat diberi sepenuh hak untuk memilih kerajaan.

Penegasan itu dilihat sebagai jawapan balas Perdana Menteri kepada pengkritiknya terutama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh Najib mengamalkan kepemimpinan ala diktator bagi menutup mulut para penentangnya.

Kita bukanlah kerajaan kuku besi, kita bukan kerajaan yang mengamalkan pendekatan diktator. Kita kerajaan yang menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Dalam aspek kestabilan politik, Perdana Menteri berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya BN akan tumbang adalah meleset dan kerajaan hari ini masih mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pembangunan negara.

“Belanjawan negara tahun lepas diluluskan di Parlimen dengan majoriti yang cukup besar, begitu juga dengan rang undang-undang lain yang boleh diluluskan di Parlimen (jadi) kita tidak bimbang dari segi kestabilan politik,” katanya.

Dalam perkembangan ber­asi­ngan, Najib menggesa seluruh masyarakat untuk bersama-sama dengan kerajaan dan pasukan ke­selamatan dalam memerangi segala bentuk jenayah, keganasan serta ekstremisme.

Menyentuh mengenai cabaran politik pula, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun Malaysia sentiasa terdedah kepada masalah ekonomi global tetapi kerajaan kekal mampu menguruskan ekonomi negara secara cekap dan berhemah.

“Kita dapat pengiktirafan agensi penarafan antarabangsa. Kalau ada orang kata ekonomi kita tak di­urus dengan baik, itu cakap politik, mereka tidak berniat baik. Agensi antarabangsa buat kesimpulan, kita mentadbir ekonomi dengan baik,” katanya.