Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sifat istimewa itu antara faktor yang meletakkan beliau pada kedudukan penting ketika ini sekali gus mampu merentasi dugaan yang berlaku sepanjang kepemimpinannya.

Sepanjang mengenali Najib sejak 30 tahun lalu, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri tidak pernah memburukkan sesiapa apatah lagi menokok-tambah sebarang cerita negatif yang disampaikan kepadanya.

“Kesabaran yang dimiliki beliau sangat luar biasa yang tidak diceritakan umum. Keistimewaan inilah yang telah ditakdirkan Allah kepada beliau untuk berada pada kedudukan sekarang.

“Beliau sabar, tidak nampak gundah langsung walaupun dicabar dengan pelbagai keadaan. Jika menerima laporan buruk tentang seseorang, beliau tidak pernah menyambutnya apatah lagi menambah aspek negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku khas dan pameran foto ‘Najib Razak 40 Tahun 40 Gambar’ terbitan Kumpulan NSTP di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FD Iskandar; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd. (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam menceritakan kisah keperibadian Najib, Ahmad Zahid turut berkongsi ‘sisi lain’ yang jarang diceritakan kepada khalayak sepanjang 40 tahun karier politiknya dalam meniti kejayaan tangga demi tangga hingga hari ini.

Beliau berkata, banyak elemen berjiwa mulia yang dikenali beliau sebagai seorang majikan, rakan baik atau ‘adik-beradik’ yang telah dilalui bersama terutama ketika berlaku permasalahan besar sewaktu Najib memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Katanya, Najib juga tidak menunjukkan kemarahan kepada pekerja bawahan selain sentiasa mengambil peduli terhadap rakan-rakan lamanya.

“Beliau tidak pernah lari daripada masalah sebaliknya mengambil tanggungjawab dan bersama-sama seluruh ahli Pemuda UMNO lain jika berlaku masalah,” jelasnya.