..

..

MAHKAMAH PUTUSKAN KAMPUNG MUTIARA BAKAL DIROBOHKAN , PENDUDUK PERLU PEMBELAAN

on Thursday, February 18, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Berita sedih bagi hampir kesemua penduduk Kampung Mutiara. 

Semalam, Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Asmabi Mohamad, sebulat suara menolak rayuan penduduk perkampungan Melayu berkenaan selepas mendapati mereka tiada merit dalam melakukan rayuan.

Dalam penghakiman semalam, Datuk Umi Kalthum turut memutuskan kesemua penduduk kampun berkenaan membayar kos perundangan kepada pemilik tanah tersebut, Peter Loke Leng Seak, sebanyak Rm 5,000. Dengan keputusan ini, Mahkamah Rayuan menyokong apa yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 Julai 2012.

Isu pengusiran penduduk ini mula dibangkitkan pada tahun 2007 apabila penduduk menerima notis pengosongan tanah daripada peguam yang dilantik oleh Peter Loke yang terdahulu telah membeli dua buah lot tanah yang bernombor geran 35070 Lot 39 dan 35071 Lot 40 pada tahun 1991 pada harga RM 1.4 juta.

Pada 2 Februari tahun lalu, Peter Loke gagal mendapatkan haknya apabila kira-kira 350 orang penduduk yang membina rumah setinggan di tanah miliknya enggan berpindah walaupun telah mendapat notis pengosongan.

Kemelut ini menjadi bertambah panjang apabila kesemua penduduk ingkar terhadap perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan kesemua penduduk di perkampungan berkenaan mesti mengosongkan tanah berkenaan sebaik sahaja keputusan Mahkamah dibacakan pada 3 Julai 2012.

Dalam perkembangan yang sama, peguam yang mewakili penduduk Kampung Mutiara, V. Amerson berkata, beliau telah menerima arahan dari kesemua penduduk kampung berkenaan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan ini.

Di pihak Kerajaan Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon dilaporkan berkata, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua belah pihak bagi mengatasi kemelut ini. Beliau memberi jaminan, nasib penduduk berkenaan akan cuba dibela oleh kerajaan negeri dan hasil keputusan perbincangan berkenaan akan diumumkan sebaik sahaja keputusan akhir dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail bakal mengadakan pertemuan dengan Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri besama pemilik tanah di Seberang Perai ini pada 23 Februari nanti.

Menurut beliau, pertemuan terbabit akan membincangkan beberapa cadangan yang difikirkan baik untuk kedua-dua belah pihak yang diantaranya, membeli semula tanah di Lot 39 dan Lot 40 ataupun menjalinkan usahasama dengan pemilik tanah berkenaan dalam membangunkan kampung berkenaan tanpa perlu mengusir keluar penduduk yang sudah mendiami tanah berkenaan sejak tahun 1973


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.