Ini kerana menurut mereka, tindakan Timbalan Presiden UMNO itu boleh menyebabkan parti berpecah sedangkan semua pihak sepatutnya bekerjasama bagi memastikan ahli-ahli kekal bersatu dan tidak ber­puak-puak.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, UMNO perlu bertindak segera ke­rana Muhyiddin dilihat bukan sahaja mengabaikan saluran parti untuk mengkritik, malah tindakannya kini semakin keterlaluan dan boleh membawa kepada kehancuran.

Dalam situasi sekarang UMNO memerlukan kekuatan antara dua pucuk pimpinan tertinggi demi membina kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi apa yang berlaku adalah Muhyiddin semakin banyak me­lakukan provokasi terhadap parti dan saya lihat akhirnya nanti boleh membawa kepada unsur sabotaj terhadap Presiden yang sedang bekerja keras memulihkan kekuatan UMNO di semua peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz seperti dilaporkan hari ini meminta Muhyiddin berundur daripada jawatannya jika beliau tidak lagi mahu menjalankan tanggungjawabnya membantu Presiden UMNO mengukuhkan parti serta kerajaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi berkata, tindakan tegas daripada Lembaga Disiplin UMNO perlu sebagai pengajaran kepada semua ahli bahawa keutamaan terhadap parti melebihi kepentingan peribadi.

“Saya melihat apa sahaja percakapan dan tindakannya tidak lagi menggambarkan beliau sebagai pemimpin nombor dua parti kerana semuanya lebih kepada memburuk-burukkan UMNO.

“Jadi seelok-eloknya parti mengambil tindakan tegas. Mana-mana pemimpin pun perlu sedar jika mahu mengkritik mesti meng­ikut saluran betul, bukannya sesuka hati demi kepentingan diri sendiri,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya pula berkata, setiap ahli UMNO perlu berpegang kepada prinsip bahawa siapa sahaja ketua yang dilantik mesti ditaati dan jika ada perkara yang tidak dipersetujui perlu di­sampaikan dengan betul, namun jika ingkar mereka perlu sedia dihukum.

“Pada pendapat saya, terpulang kepada Lembaga Disiplin parti untuk meneliti apa ucapan yang telah beliau sampaikan selama ini. Jika dilihat menerusi YouTube, banyak ucapannya yang bertentangan de­ngan hala tuju UMNO.

“Ahli sebenar harus mentaati prinsip iaitu walaupun tidak suka kepada pemimpin atau ketua, mereka perlu tetap disokong dan dihormati kerana telah dilantik dan tegur di dalam mesyuarat MT,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, salam perpa­duan daripada Najib telah dihulur kepada Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung UMNO lepas, tetapi ditolak yang menunjukkan bahawa sudah tiba masanya Timbalan Pre­siden UMNO itu berundur.

“Presiden mahu semuanya satu nada, beliau hulur salam perpaduan tetapi ditolak. Ini bukanlah masa untuk kita terus bergaduh, sepatutnya semua kena bersatu. Kalau tidak setuju maka demi kepenti­ngan UMNO berundurlah daripada parti,” katanya.