Kah Peng yang juga ADUN Kebun Bunga turut melontar persoalan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang sama ada menjadi kesalahan baginya mempertahankan hak rakyat negeri ini.

Malah, beliau turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan sama ada menjadi kesalahan baginya meminta supaya kerajaan negeri mendengar pandangan orang ramai berhubung projek tambak laut yang dirancang di negeri ini.

“Kenapa perlu ada ahli politik yang suka bermain wayang? Adakah kerana ini kami dipecat? Kerajaan negeri perlu beri penjelasan mengenainya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kah Peng sebelum ini ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (PHC) oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pemecatan itu dipercayai kerana tindakannya bersama lima lagi ADUN PKR memilih berkecuali terhadap usul tambak laut yang dibawa Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November tahun lalu.

Selain beliau, turut ditamatkan perkhidmatan dalam GLC ialah ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen yang sebelum ini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Island Golf Properties Bhd (IGP), sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Tiga lagi ADUN PKR lain iaitu Lee Khai Loon (Machang Bubok); T. Jayabalan (Batu Uban) dan Dr. Norlela Ariffin (Penanti) setakat ini belum dikenakan apa-apa tindakan.

Sementara itu, Kah Peng turut menempelak Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mendakwanya ‘menikam dari belakang’ ekoran pendirian tersebut dengan menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.

Menurut beliau, isu berkenaan tambak laut yang dibangkitan ADUN BN itu sendiri tidak melibatkan perbincangan menyeluruh dalam kalangan wakil kerajaan negeri sebelum dibentangkan dalam sidang DUN.