Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, ikhlas dalam perjuangannya membela nasib rakyat Sarawak.

Ahmad Zahid berkata selepas mengambil alih tampuk kepimpinan negeri ini daripada Tun Abdul Taib Mahmud, Adenan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perjuangannya agar suara rakyat Sarawak didengar oleh pemimpin-pemimpin pusat.

"Populariti Adenan bukan populariti yang sengaja dibangkitkan kerana mahu mencari kepopularan. Tetapi beliau adalah pemimpin yang ikhlas berjuang untuk rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan budaya," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa menutup Program Siswa Komuniti Sarawak yang dianjurkan oleh pejabat beliau, Pejabat Ketua Menteri serta Kementerian Pendidikan Tinggi di Rumah Bungan, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata berikutan komitmen yang ditunjukkan oleh Adenan itu, pemimpin pusat seperti beliau sendiri datang ke Sarawak bagi menterjemahkan apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri itu.

"Pemimpin pusat bukan datang untuk berpidato semasa kempen (pilihan raya) dan menaburkan janji yang tidak dapat ditunaikan sebagaimana dilakukan sesetengah pihak.

"Kita tidak mahu datang dan berjanji tetapi tidak menunaikannya sebagaimana orang lain yang datang dari Semenanjung atau dari tempat lain yang hanya mengutamakan titik perbezaan," katanya.

Ahmad Zahid juga membidas parti pembangkang yang sering menyalahkan sistem demokrasi di Sarawak yang dikatakan tidak adil, setiap kali pemimpin mereka ditolak oleh rakyat negeri berkenaan.

Apabila rakyat tidak mahu mereka kerana tidak membawa kemajuan, jadilah mereka pemimpin yang hanya tahu berkokok di Dewan Rakyat ataupun di Dewan Undangan Negeri Sarawak, katanya.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri menyeru rakyat Sarawak agar memilih wakil rakyat yang boleh membawa pembangunan agar nasib mereka terbela.

Mengenai Adun Nangka, Dr Annuar Rapaee, Ahmad Zahid berkata beliau telah membawa banyak perubahan di kawasan berkenaan dan rakyat perlu memberikan pemimpin berkenaan satu lagi penggal untuk berkhidmat kepada mereka. -Bernama