Tetapi malangnya, pakatan pembangkang enggan ‘iktiraf’. Kononnya ia cuma andaian ‘bodoh’ oleh agensi terkemuka itu.
Kelmarin 11 Januari 2016, Bloomberg menyuakan lagi unjuran terbaharunya. Kali ini Malaysia diunjurkan berada pada kedudukan ke-13 terbaik dunia dalam pertumbuhan KDNK sepanjang 2016 ini dengan kadar kemungkinan kemelesetan ekonomi hanya 10 peratus.
Malah, laporan kaji selidik Bloomberg itu merumuskan KDNK Malaysia pada tahun ini dijangka mencapai pada kadar 4.5 peratus, menunjukkan satu prestasi yang masih baik dan memberangsangkan.
Bahkan, menerusi artikel dalam ruangan bisnesnya bertajuk ‘Temui Prestasi Ekonomi Terburuk Dengan Bencana 2016, Malaysia dilaporkan tidak berisiko serta bebas daripada kelompok kegawatan ekonomi. Juga tidak tersenarai dalam kelompok 10 negara yang mempunyai prestasi ekonomi terburuk dunia pada tahun baharu ini.
Nah! apa kata dua ‘pelempar cakera’ atau ayam sabung pembangkang yang sering licik memanipulasikan angka dan statistik, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.
Sudah berulang kali dua individu mentohmah kerajaan kononnya Malaysia sedang menuju ke­gelapan atau kebankrapan. Tetapi negara yang makmur ini tidak pernah bankrap pun.
Rafizi dan Tony sepatutnya berjiwa besar memperakui kaji selidik Bloomberg itu yang dijalankan dalam tempoh tiga bulan iaitu Oktober sehingga Disember tahun lalu melibatkan 93 buah negara.
Walaupun harga minyak mentah dunia jatuh sebanyak 75 peratus daripada AS$110 setong (RM481.8) kepada AS$30 (RM131.4) setong, menurut Bloomberg, Malaysia masih lagi stabil dan tidak akan mengalami bankrap serta tidak akan menjadi sebuah negara yang gagal ekonominya.
Ekonomi Malaysia turut diramalkan berterusan meningkat sepanjang tahun ini.
Malaysia adalah negara ketiga terkaya di Asia Tenggara berdasarkan per kapita KDNK selepas Singapura dan Brunei.
Ekonomi Malaysia juga satu daripada yang pa­ling berdaya saing di dunia - menduduki ranking ke-14 tahun lalu.
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 mengambil alih kepimpinan negara, KDNK bersamaan kuasa beli Malaysia hanya AS$383.6 bilion tetapi hari ini dua kali ganda.
Selain itu, pada 2009, per kapita KDNK Malaysia hanya AS$8,100. Hari ini, ia tiga kali ganda daripada itu. Pendapatan isi rumah di Malaysia sekarang ialah RM5,900 sebulan, peningkatan 18 peratus berbanding 2012.
Malah, laporan HSBC menyebut, Malaysia bakal muncul sebagai ekonomi ke-21 terbesar di dunia menjelang 2050 dengan KDNK sebanyak AS$1.2 trilion dan per kapita KDNK sebanyak AS$29,247.
Kenapa Rafizi, Tony dan suku-sakat mereka masih enggan beri pengiktirafan ini?
Janganlah selalu berperilaku ‘sumbang’ begini.