Timbalan Perdana Menteri berkata, penyiasatan yang merintis kepada penemuan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung isu berkenaan dibuat dengan teliti dan menyeluruh merangkumi pemeriksaan terhadap setiap butiran dan bukti.

“Sebagaimana yang dijelaskan, tiada apa-apa syarat dikenakan terhadap sumbangan berkenaan yang dibuat secara peribadi kepada Perdana Menteri atas kepercayaan kepadanya dan kepe­mimpinannya dalam isu-isu utama.

“Saya sendiri mengetahuinya kerana telah bertemu penyumbang. Perdana Menteri sendiri yang memilih untuk menggunakan sumbangan itu untuk faedah parti dan masyarakat yang memerlukan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyata­an di sini malam ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, ahli-ahli politik sememangnya perlu bersedia diserang oleh pihak lawan yang cuba memusnahkan reputasi melalui tuduhan palsu dengan tujuan menjadi pengganti.

Bagaimanapun tegasnya, adalah menjadi kesalahan untuk me­rosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk tujuan politik peri­badi kerana kepentingan negara mesti diutamakan.

“Kita telah menghabiskan banyak masa akibat isu ini, saya meminta semua pihak supaya terus ke hadapan. Kita perlu bersatu sekarang dan mara ke hadapan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Beliau merupakan orang yang tepat untuk membawa kita semua mengharungi badai ekonomi glo­bal dan ancaman keselamatan yang dihadapi,” katanya