Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sehubungan itu memohon kos sebanyak RM50,000.

Selain Najib dan Tengku Adnan, syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Develoment Bhd. (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Pihak plaintif terdiri daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua; bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ahli jawatankuasa PAN, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, Najib telah menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri selain bertindak secara korup dan menyalahi serta melanggar undang-undang.

Peguam Tommy Thomas mewakili pihak plaintif mencadangkan kos tidak melebihi RM10,000 bagi setiap plaintif.

1MDB dan SPR masing-masing memohon RM50,000.

Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh dan Azizan Md. Arshad mewakili SPR memohon kos RM30,000.

Mohd. Zaki sehubungan itu menetapkan kos sebanyak RM15,000 kepada setiap defendan pertama dan kedua manakala SPR dan 1MDB mendapat RM10,000. -UTUSAN ONLINE