Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, banyak terma dan butiran dalam perjanjian itu memihak kepada DAP berbanding PKR dan PAN.

Malah, katanya, PKR dan PAN dilihat seperti tidak mempunyai kuasa pemutus dalam pakatan pembangkang berbanding DAP.

“Konflik perpecahan di antara DAP dengan Pas sehingga Pas digugurkan dari pakatan pembangkang menjadi bukti bahawa pakatan itu tidak boleh bertahan lama.

“Malah, PKR dan PAN dilihat hanya menjadi alat kepada DAP untuk mencapai matlamat politiknya. DAP dilihat dominan dalam pakatan pembangkang yang memeterai perjanjian baharu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya mengenai kesepa­katan PKR, DAP serta PAN menandatangani perjanjian kerjasama politik baharu semalam yang membolehkan mereka menggugurkan mana-mana parti yang didapati melanggar dan tidak menepati kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Perjanjian itu ditandatangani secara bersama antara Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Pengerusi PAN, Mohamad Sabu.

Perjanjian dibuat susulan kerjasama politik menerusi ‘Pakatan Rakyat’ sebelum ini gagal ekoran Pas dan DAP masing-masing memutuskan hubungan kerana perbezaan pendirian dalam isu tertentu antaranya pelaksanaan hudud dan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Tambah Kamarul Zaman, syarat-syarat perjanjian seperti akan menggugurkan mana-mana parti yang melanggar dan tidak menepati kerjasama dalam pakatan pembangkang seperti satu bentuk ugutan selain masing-masing dilihat seperti saling tidak percaya antara satu sama lain.

Katanya, DAP, PKR dan PAN seperti takut dengan bayang-­ba­yang sendiri melalui perjanjian kerjasama baharu tersebut.

Perjanjian kerjasama baharu itu juga menyerlahkan lagi sikap PKR dan PAN sebagai ‘pak turut’ atau dalam peribahasa Melayu, ‘seperti lembu dicucuk hidung’,” kata Kamarul Zaman.