Pensyarah Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Md. Shukri Shuib berkata, sudah tiba masanya Pas memberi kata putus untuk menentukan hala tuju parti berkenaan serta pola perjuangannya bagi memastikan umum khususnya orang Melayu tidak terus berpecah.
“Ini kerana permainan teka teki Pas yang seperti tidak ada penghujungnya ini tidak akan membawa untung kepada kelangsungan perpaduan ummah sedangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir.
“Maka Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai seorang yang gentleman, berjiwa besar, ulama dan tokoh ilmuwan Islam antarabangsa perlu mengambil soal ini lebih serius, beliau perlu tampil dan memberi kenyataan muktamad mengenai kerjasama yang diinginkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Md. Shukri, meskipun Pas dan UMNO tidak akan menjalankan kerjasama politik, namun jalinan kerjasama dalam konteks perpaduan ummah dan Islam akan membawa lembaran baharu terhadap penyatuan orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Sekiranya Pas masih berdolak dalik dalam soal ini ia pasti akan melukakan banyak hati umat Islam di negara ini.
“Jangan biarkan pendirian yang tidak tetap ini menjadi perpecahan orang Melayu dan lebih buruk menjadi senjata bagi pihak tertentu memperlekehkan barisan kepemimpinan Pas sepertimana yang dilakukan ketika mereka bersama PKR khususnya DAP dahulu,” katanya.
Tegasnya, pendirian berbelah-bahagi Pas juga akan menimbulkan kekusutan dalam perpaduan ummah.
“Jangan biarkan orang ramai pening, lebih baik berterus terang demi kesejahteraan ummah,” katanya.