Beliau berkata, langkah afirmatif Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diperkenalkan oleh Allahyarham ayahandanya, Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein, adalah untuk memastikan Bumiputera tidak ketinggalan.
“Kita menyertai perjanjian ini (TPPA) atas syarat-syarat kita dan dengan dasar tindakan afirmatif yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa” katanya pada Seminar Khas Memperingati Tun Abduk Razak (Bapa Pembangunan Malaysia) di sini, hari ini.
Najib juga melancarkan buku karya Canselor Universiti Tun Abdul Razak, Tun Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, yang menyentuh mengenai pencapaian Perdana Menteri kedua itu.
Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Ba­dawi.
Sejak penubuhan DEB pada 1970, Najib berkata, kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan kepada hanya 0.6 peratus pada 2014 daripada 49 peratus pada 1970, manakala bilangan profesional Bumiputera meningkat dengan ketara semasa tempoh yang sama.
“Dalam kalangan doktor, sebagai contoh, bilangan Bumiputera meningkat daripada 3.7 peratus kepada 46 peratus dalam tempoh itu dan dalam kalangan jurutera, peningkatannya adalah daripada tujuh peratus kepada 35 peratus,” katanya.

Pada Mei 2015, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Michael Froman berkata, dasar pro-Bumiputera Malaysia tidak akan terjejas dalam TPPA kerana ia dianggap sebagai ‘keputusan berdaulat’.
Froman berkata, Amerika Syarikat menyedari bahawa setiap negara yang terlibat dalam perjanjian itu mempunyai cara sendiri untuk menangani kemiskinan dan pertumbuhan.
Acara sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Cemerlang dan Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli). – BERNAMA