Kata mereka: “Mana boleh, bukankah perkhidmatan awam sehinggakan angkatan tentera, polis dan sebagainya semuanya terdiri dari kalangan orang Melayu belaka. Mana boleh kuasa terlepas.”

Itu pemikiran cetek yang masih bersarang di minda. Kini, segala­nya ditentukan di atas kertas undi - pangkah mengikut demokrasi undang-undang negara dan antarabangsa.

Masih ingatkah kita satu insiden sekitar 1998 ketika Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Waktu itu dikatakan wujud satu gerakan semulajadi dari peringkat akar umbi tanpa dorongan UMNO yang secara tiba-tiba menyaksikan lebih 770,000 orang mendaftar sebagai pengundi.

Dikhabarkan, 770,000 orang ini berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu.

Dan andai kata pilihan raya umum ke-10 dilangsungkan lewat setahun dari itu, bukannya pada November 1999 tetapi tahun 2000, besar kemungkinan mereka yang berdaftar secara sukarela sebagai pemilih berdaftar ini telah mengakibatkan Barisan Nasional (BN) ‘bungkus’ - hilang kerajaan yang dikuasainya.

Waktu itu 770,000 orang ini tak dapat mengundi kerana terikat dengan prosedur dan proses pendaftaran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Walaupun suasana waktu itu (1998/99) getir dengan Parti Keadilan yang membela Anwar baru didaftarkan dan bertanding buat kali pertama, BN masih mencatat kemenangan majoriti dua pertiga yang kemudian mendorong Perdana Menteri ketika itu mengundur diri.

Pada 2004, lebih kurang beberapa bulan selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) mengambil alih jawatan, beliau membubarkan Parlimen dan menang dengan majoriti amat bergaya sehingga meraih 90 peratus kerusi Parlimen.

Amat perlu diimbau sejarah supaya setiap kali hendak putuskan sesuatu tindakan besar, BN perlu ambil fakta pengundi secara objektif dan berangka. Contohnya jika mahu parti menang besar dalam PRU ke-14, jentera parti harus lakukan secara makro dan terperinci proses pendaftaran pengundi ini.

Barangkali apa yang dilakukan oleh UMNO Melaka boleh diteladani dalam aspek mendaftarkan pengundi baharu.
Pengerusi Badan Per­hubungan UMNO negerinya, Datuk Seri Idris Haron ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam memberitahu:

“Saya sebut berkali-kali bahawa untuk mengembalikan kerusi Parlimen Bukit Katil yang hilang kepada PKR, UMNO Bukit Katil mesti mendaftarkan sekurang-kurangnya 13,500 pengundi baharu.

“Dan angka ini mestilah dipacu oleh jentera UMNO Bahagian Bukit Katil sendiri, tak boleh dipacu orang lain. Tak dapat 13,500, kita lebih baik berkira-kira untuk hilang bukan sahaja Parlimen Bukit Katil tetapi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru juga. Jangan percaya kepada pendaftaran pengundi secara sukarela.

“Ini semua tanggungjawab Pemuda dan Puteri yang saya kira masih banyak ruang lagi untuk diperbaiki dalam kerja-kerja ini.”