Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak sopan, Setiausahanya, Oh Tong Keong berkata, tindakan Guan Eng yang menyentuh mengenai pemilikan tanah dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut juga memperlihatkan sikap angkuh Ketua Menteri berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan untuk dilakukan pemimpin Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana sebelum pilihan raya mereka bersungguh-sungguh menyatakan mahu menubuhkan kerajaan rakyat.

“Tetapi setelah berkuasa, mereka langsung tidak mengendahkan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan yang tersebar secara meluas di laman sosial berhubung kenyataan Guan Eng dalam reaksi terhadap bantahan penduduk Chew Jetty yang membantah hasrat Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan di kawasan mereka.

Dalam reaksi itu, Guan Eng dilaporkan berkata: Ini bukan tanah bapa kamu” selepas penduduk Jetty Chew tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri tersebut kerana bertembung dengan sambutan tahunan Thni Kong Seh iaitu hari ulang tahun kelahiran Maharaja Jade yang dianjurkan penduduk tempatan.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan banyak pihak khususnya penduduk di Chew Jetty yang turut mengingatkan Guan Eng yang mana tanah-tanah di negeri ini juga bukan milik beliau atau bapanya, Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Toh Keong berkata, kenyataan Guan Eng tersebut sekiranya benar seperti dilaporkan, adalah sesuatu yang kasar dan tidak sepatutnya diucapkan khususnya dalam masyarakat Hokkien.

Menurut beliau, sebagai Ketua Menteri, Guan Eng sepatutnya mencari penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan sebarang pertikaian bersama rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan rakyat.

“Sepatutnya dalam menyambut apa juga perayaan, kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri mestilah bersama dengan rakyat, bukannya terus bermain politik kerana yang terkesan adalah rakyat sendiri,” katanya.