Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau dikatakan sebagai 'kuat kipas, kuat pertahan dan kuat menolong Najib.

Sedangkan jelas beliau, apa yang dilakukan oleh beliau adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai pembantu Najib serta atas prinsip setiakawan yang diamalkan selama ini.

“Saya bagi tau diri saya, kalau kita tidak pertahankan Perdana Menteri, siapa lagi. Takkan saya (Timbalan Perdana Menteri) nak korek kapal tidak sokong beliau (Perdana Menteri).

“Itu sebab saya pertahankan beliau kerana prinsip kesetiakawanan. Janganlah apabila kapal kena ribut, kena gelombang, kita angkat nakhoda kita campak ke laut. Itu bukan setiakawan namanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan kepada 2,991 pelajar anjuran UMNO Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Pendidikan negeri, Rozi Puteh Ismail.
Tambah Ahmad Zahid, UMNO bukan sekadar parti politik tetapi merupakan sebuah institusi sosial yang melaksanakan pelbagai agenda termasuk pendidikan, agama dan ekonomi.

“Jadi saya harap rakyat tidak terlalu menanamkan kebencian terhadap UMNO dan pemimpin-pemimpinnya sebaliknya hormat, hargailah jasa dan sumbangan parti keramat itu kepada mereka selama ini,” katanya.