Bagi meluahkan suara hati dan membantah projek bernilai berbilion ringgit itu, rata-rata nelayan yang menjangkau usia emas terbabit hari ini berkumpul di Jeti Nelayan Sungai Batu mengadakan bantahan aman untuk mendesak kerja-kerja tambak laut di kawasan mereka dihentikan.

Malah, melalui bantahan aman berkenaan para nelayan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan itu turut menggerakkan usaha mengumpul tantangan nelayan-nelayan terlibat sebelum satu memorandum bantahan dihantar ke pihak kerajaan DAP negeri dalam masa terdekat.

Tegas nelayan terlibat, projek menambak laut berkenaan hanya akan menggugat lubuk rezeki mereka memandangkan kawasan-kawasan pembiakan hasil laut terutama ikan dan udang di kawasan berkenaan akan terjejas.



Seorang nelayan, Choo Sooi Kong, 70 berkata, kawasan laut di sekitar Bayan Lepas sehingga ke Balik Pulau merupakan lubuk pelbagai jenis ikan dan udang yang menjadi sumber pendapatan para nelayan pantai sepertinya.

“Andai kerja-kerja menambak laut ini diteruskan sudah pasti punca pendapatan kami akan terjejas dan apakah kerajaan negeri tidak memikirkan nasib kami yang terkesan dengan projek ini kelak?

“Ke mana kami hendak pergi kalau satu-satunya punca rezeki selama ini hilang dan janganlah menuang pasir ke dalam periuk nasi kami?

“Sebagai nelayan pantai, selama ini kami terpaksa bersabung nyawa ke tengah laut mencari rezeki yang adakalanya tidak menentu, jadi janganlah diganggu lubuk rezeki kami ini,” katanya yang telah lebih 50 tahun menjadi nelayan ketika ditemui pemberita di Jeti Sungai Batu di sini, hari ini.

Selain itu , bagi nelayan, Nazri Ahmad, 50, berkata, para nelayan tidak pernah sama sekali menghalang kepada projek-projek pembangunan, namun setiap rancangan pembangunan itu perlulah mengambil kira kelangsungan hidup mereka.

“Apa kerajaan negeri boleh memberi jaminan bahawa ikan dan hasil laut di kawasan ini tidak akan terjejas dan para nelayan boleh terus bergantung hidup dengan laut selepas ini?
“Jangan beritahu yang kami akan diberi penempatan baharu atau apa-apa pampasan yang selama ini menjadi amalan kerajaan negeri, bagi saya ibarat merasuah rakyat sedangkan projek tambak laut ini tidak sedikit pun menguntungkan kami para nelayan.

“Tiada guna pampasan dan penempatan baharu diberi sekiranya punca rezeki kami hilang dan sebab itu kami mempertahankan kawasan laut ini demi kelangsungan hidup sendiri yang telah sebati dengan laut,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, tiada sebarang pemberitahuan atau perbincangan diadakan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri sendiri berhubung projek tebus guna tanah melibatkan kawasan-kawasan pantai terbabit bersama pihaknya setakat ini.

Ujarnya, maklumat berkenaan projek itu hanya diketahui pihaknya menerusi laporan-laporan berita disiarkan berhubung kerja-kerja tambak laut di kawasan terlibat setelah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

“Kerajaan negeri sepatutnya berbincang dengan kami terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan kerana projek ini membabitkan kelangsungan dan kebajikan para nelayan terlibat.

“Mengapa hanya mementingkan pemaju yang selepas siapnya projek ini mampu mengaut keuntungan berjuta ringgit tetapi kesengsaraan hidup ribuan nelayan yang akan terjejas tidak diambil kira.

“Banyak lagi tanah dan kawasan lain yang boleh dimajukan, jadi janganlah mengorbankan kawasan laut sehingga menjejaskan kehidupan nelayan pantai,” katanya.