Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin ber­kata, tuduhan Pena­sihat DAP, Lim Kit Siang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan mereka berbuat demikian adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

Kit Siang menuduh Ahli-ahli Dewan Negara dipanggil oleh Perdana Menteri dan konon­nya memberi arahan kepada mereka yang mewakili Barisan Nasional (BN) boleh bangkang dalam Dewan tetapi akhirnya kena undi sokong rang undang-undang tersebut.

“Ini fitnah besar yang dilakukan oleh Kit Siang sebagai orang lama dalam politik,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Kit Siang dalam ke­nyataan melalui laman blog beliau (http://blog.limkitsiang.com) hari ini berkata, sekiranya benar Najib memberi arahan sedemikian, sesi perbahasan rang undang-undang tersebut di Dewan Negara boleh dianggap sebagai satu kepura-puraan.

Kenyataan Kit Siang itu turut dilaporkan oleh portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

Sementara itu, Senator Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad ketika mencelah perbahasan Megat Zulkarnain turut mengesahkan Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan tersebut.

Ibrahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, perkara itu tidak disebut langsung ketika beliau bertemu Najib baru-baru ini.

“Ini yang dikatakan zalim, kurang ajar dan penipu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menjelaskan, beliau pernah bertemu Perdana Menteri semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015 baru-baru ini namun soal perbahasan Rang Undang-undang Majlis Kese­lamatan Negara 2015 tidak pernah dibangkitkan.