Sekiranya Naib Presiden PKR itu enggan berbuat demikian, Pengerusi Gabungan Pengundi Muda Lembah Pantai, Mohd. Nazri Abd. Rahman berkata, Nurul Izzah perlu bersedia berdepan dengan gelombang penolakan daripada mereka pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang mewakili lebih 20 persatuan belia dengan kekuatan lebih 6,000 pengundi di kawasan tersebut turut meminta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenakan tindakan yang berat ke atas Nurul Izzah demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Kalau Nurul Izzah berani, beliau perlu lepaskan jawatan Ahli Parlimennya. Pengundi muda di Lembah Pantai bersedia menghukumnya selepas ini. Oleh itu, beliau perlu meletakkan jawatan segera, lebih baik sebelum dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Dengan rekod buruk sebagai wakil rakyat yang tidak menjaga kawasan sendiri, tindakannya kini jelas mencerminkan bahawa beliau tidak berwibawa dan tidak layak untuk menjadi wakil kepada rakyat dalam mempertahankan Perlembagaan dan hak kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Nurul Izzah sebelum ini dilaporkan bertemu Jacel dalam satu majlis di Manila, Filipina berikutan penyebaran gambar mereka yang memegang sepanduk ‘Bebaskan Anwar’ di internet.

Berikutan tindakan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan usul melarang Nurul Izzah dan Naib Presiden PKR, Tian Chua memasuki negeri itu.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri menambah, pihaknya turut menyokong keputusan dibuat DUN Sabah berkenaan dan berterima ka­sih kepada Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) pembangkang negeri itu yang bersetuju terhadap keputusan tersebut dengan tidak mengundi semasa sesi pengundian dilaksanakan.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan menggantung lebih 20 kain rentang, antaranya tertera tulisan ‘Nurul Izzah Ratu Fitnah, Ratu Maaf’; ‘Pengundi Lembah Pantai Pertahan Kedaulatan Negara’ dan ‘Politik Peribadi Tiada Tempat di Lembah Pantai’ untuk mempromosikan kesedaran dalam kalangan pengundi kawasan tersebut.
“Kita akan teruskan usaha menyedarkan ini bermula malam ini sehingga beliau meletakkan jawatan. Kita tidak akan berkompromi dengan Ahli Parlimen sebegini yang menggores hati dan perasaan rak­yat,” katanya.