Nasihat jujur yang lahir daripada suara hati itu bagaimanapun bukan dituturkan oleh pemimpin Melayu, sebaliknya disuarakan pemimpin masyarakat India iaitu Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan yang bimbang melihat perkembangan politik semasa dalam UMNO.

Katanya, pemimpin UMNO perlu insaf bahawa pembangkang dan kumpulan tertentu hanya bertepuk tangan jika mereka saling berlaga kerana apabila parti terbesar Melayu itu lemah, keadaan sedemikian hanya memudahkan lagi usaha merampas kepemimpinan negara.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) menyeru tokoh-tokoh veteran UMNO supaya menjadi orang tengah bagi mendamaikan segera antara Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pemimpin UMNO kena kembali bersatu kerana inilah parti terbesar orang Melayu. 

Jika parti terbesar orang Melayu lemah disebabkan pemimpinnya saling bercakaran, orang Melayu juga akan berpecah. Jika Melayu berpecah, kaum lain juga tidak akan hidup senang.

“Ini adalah realiti kerana Melayu dan bumiputera adalah bangsa majoriti yang menjadi teras di negara ini dan sebab itulah walaupun berketurunan India, saya ingin melihat orang Melayu bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Dewan Negara hari ini.


Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini, pemimpin tertinggi parti itu perlu merenung kembali perpaduan erat di antara kepemimpinan terdahulu sehingga memungkinkan UMNO menuntut kemerdekaan.

Menurut beliau, jika kepemimpinan terdahulu mampu bersatu ketika berdepan saat-saat sukar hingga membolehkan negara mencapai kemerdekaan, tiada sebab mengapa perpaduan tidak boleh disemai dalam pucuk pimpinan semasa, andainya kepentingan peribadi diketepikan.

“Sebagai Perdana Menteri, Najib sebenarnya sudah melakukan yang terbaik untuk negara walaupun mungkin ada juga kekurangannya, tetapi setiap masalah yang timbul pastinya ada jalan penyelesaian tetapi bukannya dengan merosakkan perpaduan dalam parti,” katanya.