Perdana Menteri berkata, tuntutan itu jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 103 yang membawa maksud untuk berpegang teguh kepada tali Allah dan lara­ngan untuk berpecah-belah.
Atas dasar menyanjung tinggi ajaran Allah itu, Perdana Menteri sekali lagi menghulurkan salam perpaduan kepada Pas untuk bersama-sama berpegang kepada tali Allah, bersatu dan tidak berpecah-belah supaya negara tidak mengalami nasib serupa seperti di negara-negara Arab.
Dalam majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, Najib berkata, beliau yang mewa­kili kabilah UMNO mengajak Abdul Hadi mewakili kabilah Pas untuk sama-sama berpegang kepada pe­ngertian ayat al-Quran tersebut.
“Petunjuk al-Quran begitu jelas prinsip perpaduan sehingga orang biasa seperti saya memahaminya dengan jelas dan mudah.
“Berpegang teguh dengan tali Allah jangan berpecah-belah, cuba kupas dan renung ayat ini apakah pengertian ayat ini, ayat ini bermula dengan perintah maknanya ini bukan pilihan, ini wajib maknanya apabila Allah perintah, maka hukum wajib untuk kita menjurus perpaduan ummah.
“Kedua, kupasan ayat ini adalah bukan berpegang kepada tali lain, tali manusia atau pun tali-tali biasa tetapi tali Allah.
“Ketiga ditegaskan janganlah kamu semua berpecah-belah maknanya larangan kita dari berpecah-belah. Maka saya ingin menyatakan saya mewakili kabilah saya dan tuan guru ( Abdul Hadi) mewakili kabilahnya, marilah kita berpegang kepada pengertian ayat ini jangan kita pula macam negara-negara Islam lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Multaqa itu yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Syeikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad Mohammad Al-Tayyeb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden Rabitah berkenaan, Prof. Madya Datuk Dr.Fakhruddin Abdul Mokti.
Dalam pada itu, Najib berkata, prasyarat perpaduan ialah budaya hidup bermasyarakat yang positif serta berasaskan akhlak terpuji sekali gus menuntut tindakan berhikmah dan berpandangan jauh.
Katanya, masyarakat Islam perlu mempunyai pandangan mendalam apakah agenda dan natijah akhir yang akan terzahir apabila perpaduan itu terhasil serta apakah mudaratnya apabila perpaduan itu runtuh dan hancur.
“Malaysia sebagai sebuah negara majmuk amat memahami betapa besar cabaran untuk mengharmonikan kepelbagaian itu dengan landasan wasatiyyah.
“Mutakhir ini terdapat cabaran berbentuk kecenderungan mentafsirkan agama secara rigid dan inilah menjadi punca munculnya golongan yang menyalahgunakan konsep jihad demi menegakkan khilafah Islam menyalahi syariat,” katanya