Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) berkata, ini berikutan tanggungjawab membina lebuh raya terletak sepenuhnya di bahu Kerajaan Pusat bukannya kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian berikutan Kerajaan Pusat telah bersetuju membina 20 kilometer daripada laluan itu yang termasuk dalam jalan lingkaran tengah (CSR) kerana memahami kekangan kewangan kerajaan negeri serta masih perlu menyiapkan baki 10 kilometer yang tinggal.

“Kalau wakil rakyat balik ke Kelantan dengan kereta, letih sebab tiada lebuh raya. Soalan saya yang cukup menarik adalah 10 kilometer yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri boleh ke kalau Kerajaan Pusat ambil alih,” katanya dalam soalan lisan kepada Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika melancarkan lebuh raya yang menghubungkan Kota Bharu dan Kuala Krai memohon derma sebanyak RM1.8 bilion daripada rakyat Kelantan untuk membantu menyiapkannya kerana kekangan kewangan dihadapi kerajaan negeri.

Isu pembinaan lebuh raya rakyat ini terus menjadi perbualan hangat apabila kerajaan Pas Kelantan turut menukar kontraktor yang dilantik beberapa kali selain salah sebuah syarikat tersebut turut memfailkan saman kerana mendakwa di­­tamatkan kontrak tidak mengikut prosedur.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) dalam jawapannya berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan rakyat Ke­lantan dan bersedia membantu, namun belum ada permintaan daripada kerajaan negeri serta keputusan itu perlu dibuat oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.

“Sebenarnya perancangan atau pengumuman mengenai 30 kilometer ini dibuat kerajaan negeri, selepas kegagalan kontraktor dan kekangan kewangan, kerajaan negeri telah cuba membincangkan perkara ini dengan Pusat.

Sebagai kerajaan yang prihatin, Pusat sentiasa mendengar dan meneliti cuma kita tidak ada keputusan lagi tetapi dalam pembentangan bajet, kerajaan memberi keutamaan pembinaan CSR, spesifiknya lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai tidak dipinggirkan,” katanya.

Menurut Rosnah, pembinaan CSR yang menelan kos RM8.4 bilion telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan turut menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 demi kemudahan rakyat.

“Projek ini telah dipecahkan kepada dua fasa iaitu melibatkan Simpang Pelangai, Bentong (Pahang) ke Kuala Krai, Kelantan sepanjang 390 kilometer dan Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 61.5 kilometer.

“Sehingga kini kerajaan telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM967 juta iaitu RM819 juta untuk laluan Betong-Kuala Krai dan RM148 juta bagi Kota Bharu ke Kuala Krai,” jelasnya.