Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, usaha itu bagi mengelak isu penduduk dihalau dari kampung yang didiami mereka secara generasi ke generasi berulang.

Menurut beliau, pelan itu bagi membolehkan Kerajaan DAP Pulau Pinang menyediakan penempatan baharu di tanah milik kerajaan nege­ri atau secara kerjasama dengan kerajaan Pusat sekali gus memastikan kebajikan penduduk terlibat terbela.

“Kerajaan negeri pastinya mempunyai maklumat berapa banyak lagi penempatan yang diancam dimusnahkan pemaju kerana status menumpang penduduknya.

“Jika perkara ini tidak dilakukan, episod penduduk yang dihalau daripada kampung mereka walaupun sudah didiami beratus-ratus tahun lamanya di negeri ini akan terus berulang pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan penduduk Kampung Selut, Jelutong di sini berkenaan kemungkinan kampung mereka menjadi mangsa terbaharu bakal dirobohkan pemaju.

Desas-desus mengenai kemungkinan kampung itu mahu diba­ngunkan timbul selepas penduduk menerima surat kaji selidik yang antara lain menyentuh mengenai cadangan untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Menurut Zainal Abidin, keperluan menyediakan pelan menyelamatkan kampung-kampung tradisi itu lebih mustahak ketika ini berbanding cita-cita besar Kerajaan DAP Pulau Pinang melaksana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion.

Tambahnya, tanah-tanah yang bakal ditambak menerusi pelan induk pengangkutan itu boleh digunakan sebagai lokasi baharu penempatan penduduk yang dihalau dari kampung tradisi mereka.

Sebagai pihak yang mempunyai hak ke atas urusan tanah, jelas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang boleh mengambil langkah itu sekiranya benar-benar prihatin dan bersungguh-sungguh membela nasib penduduk kampung tradisi berkenaan.

“Kerajaan Pusat tiada halangan untuk membantu membela nasib penduduk kampung ini tetapi kerajaan negeri sendiri perlu mengemukakan pelan komprehensif berhubung usaha ini.

“Ini kerana mereka mempunyai maklumat mengenai kampung-kampung yang berdepan ancaman dihapuskan selain berkuasa dalam soal tanah,” katanya.