Ketua Biro Perundangan dan Pengaduan Awam, Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo Jieh Sheng berkata, ini kerana pihaknya mendapati keluasan pembangunan tanah tanpa kelulusan di puncak bukit itu meningkat kepada kira-kira 24,857 meter persegi.

Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan notis menghentikan kerja-kerja tanah di puncak bukit itu sudah dikeluarkan pada 2013.

Perbezaan keluasan kerja-kerja tanah di Bukit Relau ketika ini me­nunjukkan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan di kawasan itu seolah-olah semakin bertambah.

“Ini bercanggah dengan ke­nyataan Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini yang sering mendakwa kerja baik pulih di bukit itu sedang berlangsung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini dikecam banyak pihak ekoran isu penggondolan puncak Bukit Relau yang tahap kemusnahannya dapat dilihat dengan jelas iaitu lebih 10 kilometer dari arah Jambatan Pulau Pinang.

Bukit itu yang turut dikenali dengan julukan Bukit Botak dice­roboh secara haram oleh syarikat pemaju perumahan, General Accomplishment Sdn. Bhd. (AGSB) yang kemudiannya didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Sementara itu, Jason turut mempertikai berhubung jangka masa penyempurnaan kerja-kerja membaik pulih Bukit Relau itu seperti di­arahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pemaju yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, kerajaan ne­geri memberi jangka masa berbeza apabila Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa bukit itu akan selesai dibaik pulih akhir tahun depan manakala Kon Yeow pula mendakwa kerja-kerja tersebut akan siap pada Januari ini.

“Sudah 32 bulan sejak notis menghentikan kerja-kerja dikemukakan oleh kerajaan negeri, adakah munasabah pemaju memerlukan masa yang begitu panjang bagi menyelamatkan itu?,” katanya.

Dalam pada itu, Jason turut menarik perhatian mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2014 Pulau Pinang (Siri 3) yang mendedahkan kerja-kerja pengukuran tidak dapat dilakukan kerana pihak audit tidak dapat memasuki sebahagian kawasan di Bukit Relau.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana pemilik lot tanah tersebut mempunyai kuasa berlebihan sehingga dapat menghalang pihak audit daripada menjalankan kerja-kerja mereka di kawasan berkenaan.